Sudah Terbukti Hanya BN Beri Kestabilan, Kemakmuran – Mohana

AYER KEROH, 18 Nov – Ketua Wanita MIC pusat, Datuk Mohana Muniandy berkata Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti yang menjaga kestabilan negara serta memberikan kemakmuran.

Menurutnya, kestabilan yang dikecapi selama ini adalah berkat usaha pemimpin-pemimpin BN dan terbukti apabila parti lain yang mentadbir berlaku sebaliknya tiada kestabilan.

“BN merupakan satu-satunya parti yang boleh memberikan kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat Malaysia. Rakyat hidup dalam suasana aman, damai dan makmur dan jikalau tiada BN maka tiada lagi keamanan.

“Sekarang rakyat sudah tahu dan sedar serta merasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH). Rakyat sudah serik, keperitan dan tidak mahu merasa lagi kesusahan akibat permainan politik melampau yang dibawa oleh kerajaan lalu. Jadi undilah BN untuk “Kestabilan Demi Kemakmuran,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Mohana, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, MIC telah menggerakkan seluruh jenteranya bagi membantu calon BN.

“MIC telah mengerahkan seluruh jentera sama ada dari peringkat nasional mahupun Melaka itu sendiri dan mempunyai jentera-jentera MIC di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM), Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bagi menggerakkan gerak kerja dan mereka menjalankan tugas dengan baik dan sempurna.

“Kami menggunakan formula ‘ibu dan bapa angkat’ daripada nasional, bagi DUN, MIC menggunakan formula yang sama dan juga kordinator dari negeri. Kalau di PDM terdapat wanita-wanita MIC dari lokaliti masing-masing yang akan mengetuai jentera parti,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.