Sejak Dahulu Undi Dacing… Hanya BN Prihatin Orang Asli

JASIN, 18 Nov – Penduduk Orang Asli di daerah ini khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim menghargai komitmen Barisan Nasional (BN) yang selama ini prihatin dengan keperluan mereka.

Bagi Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, Sariff San Ka Chang, 52 tahun, beliau memaklumkan penduduk di kampung ini dari dahulu lagi menerima BN sebagai satu-satunya parti politik yang komited membantu rakyat.

“Pembangunan yang kita terima ini sebenarnya dari dahulu lagi dilakukan oleh BN, kalau orang tua zaman dahulu akan cakap ‘undi dacing’.

“Kita biasa akan dapat wakil-wakil dari BN yang datang ke kampung biasanya mereka mementingkan pembangunan di kampung macam jalan, air dan elektrik. Macam dahulu kita menggunakan air perigi sahaja tapi bila kita minta di Persekutuan memang dapat bahkan juga dibangunkan balai raya, surau dan sebagainya.

“Soal pendidikan juga diambil berat, peruntukan kanak-kanak sekolah memang kami dapat bukan hanya dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tetapi juga daripada BN,” katanya.

Sementara itu, bagi Tok Jenang, Rahim Atong, 61 tahun, beliau sangat menghargai segala bantuan yang diberikan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Muhamad malah berharap kesinambungan itu dapat diteruskan oleh calon baharu, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

“Datuk Ghazale sangat bagus, sangat ramah dan tidak segan silu bila datang sini dengan semua penduduk di sini beliau bercampur sekiranya ada benda yang kita minta akan dapat… hanya lambat atau cepat sahaja, mereka sangat prihatin dengan kami.

“Saya harap sekiranya Datuk Khaidirah ini terpilih dapat terus membantu kami ikut jejak wakil rakyat yang lepas,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau juga meluahkan kekecewaan dengan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan beliau mengabaikan komuniti Orang Asli di kawasan ini.

“PH ada juga yang masuk sini tapi belum nampak lagi perkhidmatan mereka.

“Bantuan yang kami terima daripada mereka hanyalah bakul makanan tapi tidak dapat tanding dengan BN yang sangat komited dengan masyarakat di sini,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.