Bekas Ahli Bersatu Kembali Sertai UMNO, Nyatakan Sokongan Kepada Cikgu Ali

TANGGA BATU, 18 Nov – Hampir 100 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Kampung  Bertam Hulu, Sungai Udang malam tadi mengambil keputusan keluar daripada parti berkenaan dan kembali menyertai semula UMNO.

Borang kemasukan ke dalam UMNO diserahkan oleh bekas Pengerusi Tetap Bersatu cawangan berkenaan, Rosjihan Ab Rahman kepada Ketua UMNO Tangga Batu yang juga Calon Barisan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Ros Jihan Ab. Rahman yang juga Timbalan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Perikatan Nasional Kg Bertam Hulu berkata, keputusan berkenaan diambil susulan kecewa dengan cara pentadbiran pimpinan Ketua Cawangan tersebut.

“Pada malam ini saya menyertai semula UMNO dan meletak segala jawatan yang ada pada diri saya di dalam Bersatu dan PN Kg Bertam Hulu. Dengan penuh keikhlasan dan kejujuran saya telah nampak kesilapan saya yang lalu meninggalkan parti keramat UMNO seketika dan hari ini kembali semula ke dalam UMNO.

“Langkah ini bukan atas sebab hasutan dan sebagainya, ini adalah termasuk rakan-rakan yang lain-lain dengan jujur serta telus  ikhlas memohon kepada Datuk Seri Mohamad Ali untuk kembali semula. Saya keluar daripada Bersatu kerana tidak ada kejujuran dalam aspek pentadbiran Bersatu Kg Bertam Hulu,” katanya di perkarangan Baitul Tariq,di sini, malam tadi.

Sementara itu Ketua UMNO Tangga Batu yang juga calon BN DUN Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad melahirkan rasa terharu dengan perkembangan berkenaan dan tidak menjangkakan perkara tersebut berlaku.

Katanya dengan kehadiran kawan-kawan daripada Bertam Hulu dan menyatakan sokongan kepadanya, beliau sememangnya terharu dan turut mengalu-alukan mana-mana yang lain untuk kembali semula.

“Saya sebagai Ketua UMNO  bahagian dengan rela hati dan ikhlas menerima…tidak kira daripada mana-mana cawangan pun dalam masa yang terdekat ini untuk memohon semula menjadi ahli UMNO saya menerima tanpa ada syarat.

“Apa yang ingin jelaskan di sini adalah atas kesedaran masing-masing. Saya berjuang atas nama UMNO kerana yakin dengan perjuangan UMNO. Saya yakin dengan perkembangan ini maka lumpuhlah parti Bersatu di cawangan Bertam Hulu. Harap jadi ikutan kepada yang lain untuk kembali kepangkuan UMNO kerana kita mengharapkan supaya parti besar UMNO akan terus diperkukuhkan.,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.