Sama ‘Berkampung’… Kestabilan Demi Kemakmuran Untuk Rakyat Melaka – Zaidi


MASJID TANAH, 17 Nov – Pemuda UMNO Negeri Sembilan yang berkampung sejak dari awal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning bersama dengan jentera tempatan lain yakin dan percaya segala usaha mereka akan membuahkan hasil pada 20 Nov ini.

Menurut Ketua Pemudanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Jempol, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir biarpun terdapat kekangan tertentu dalam soal kempen dan sebagainya, jentera setempat dan jentera daripada yang lain tetap komited memastikan BN mencapai kejayaan nanti.

“Kombinasi antara jentera tempatan bersama jentera luar yang lain cukup hebat di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) khususnya kawasan yang ditugaskan untuk kami iaitu PDM Brisu, Rantau Panjang dan Sungai Buloh.

“PRN kali ini di Melaka agak berbeza dengan pilihan raya kecil yang lain. Di Melaka ini kita berkempen secara norma baharu dan tiada lagi ziarah-menziarahi, ceramah besar-besaran, tiada lagi majlis keramaian atau besemuka.

“Namun begitu kita selaraskan dengan berkempen secara maya, sebarkan maklumat, infografik, video dan juga ceramah secara langsung, rakaman durasi pendek 30 saat, 60 saat dan setiap hari ada video-video yang terkini untuk kita sebarkan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, baru-baru ini.

Zaidi seterusnya berharap para pengundi khususnya anak-anak muda melihat kepada pengalaman lalu iaitu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 selepas Pakatan Harapan (PH) menerajui negara dan beberapa buah negeri.

“Saya harap anak-anak muda di Melaka ini dan juga di mana-mana sahaja… kalau yang berada di luar… saya merayu baliklah ke kampung untuk membuang undi… membuang undi bukan untuk saya dan kami hanya datang untuk membantu memastikan Melaka ini dimenangi BN.

“Apabila anda memilih secara bijak anda akan memastikan kemakmuran negeri anda sendiri…ayuh anak-anak muda jangan kita ulangi kesilapan kali kedua. Kali ini kita ubah dan kita telah berikan peluang kepada PH, kali ini tidak lagi.

“Kita pilih demi masa depan kita, demi masa depan anak-anak kita, demi masa depan keluarga kita dan untuk keluarga Malaysia seterusnya demi kestabilan untuk kemakmuran,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.