Projek PPR Kelebang Kecil Dihentikan Pada Zaman PH – Calon Kelebang

MELAKA, 17 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang Senator Datuk Lim Ban Hong enggan melatah, meskipun berdepan pelbagai kritikan pihak lawan termasuk berkaitan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kelebang Kecil.

Naib Presiden MCA yang juga Pengerusi MCA Melaka itu berkata isu yang ditimbulkan pihak lawan berkenaan, tidak lebih daripada mencari publisiti dalam berpolitik.

 

“Bagi saya, perkara paling asas bagi setiap wakil rakyat adalah tahu latar belakang sesuatu projek atau isu yang hendak dibangkitkan. Siapa yang kendalikan, pada zaman bila ia berlaku?

“Seperti projek PPR Kelebang Kecil yang dimulakan pada Feb 2016 dan sepatutnya siap pada akhir 2018. Pihak lawan tanya saya kenapa tidak ambil apa-apa inisiatif untuk teruskan projek itu? Tapi mereka lupa yang Pakatan Harapan (PH) ambil alih kerajaan ketika itu dan projek itu dihentikan pada Sept 2019,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Sementara itu Lim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata dalam tempoh kempen yang berbaki empat hari itu beliau hanya mahu mendekati rakyat dan memahamkan mereka mengenai visi dan objektif manifesto yang dibentangkan.

“Semuanya adalah untuk membantu rakyat terutama selepas pandemik. Apa yang perlu dilakukan untuk pulihkan ekonomi rakyat. Bukan cari modal isu untuk publisiti murahan,” katanya.

Lim yang tewas di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu berkata rakyat semakin bijak untuk menilai apa yang dilakukan oleh mana-mana calon yang mewakili mereka malah akan menganalisis perkara-perkara yang dibangkitkan.

“Dan apabila saya tewas PRU-14 dulu, saya tidak pernah tinggalkan masyarakat Kelebang kerana saya sedar ini perjuangan jangka panjang,” katanya.

Mengulas strategi memenangi hati penduduk menjelang hari mengundi pada 20 Nov nanti, beliau berkata akan bekerja lebih keras dan menggunakan semaksimum mungkin semua platform media sosial bagi mendekati penduduk Kelebang.

Malah beliau akan terus menambah baik gerak kerja berpasukan tidak kira yang dilakukan secara fizikal atau maya, dalam usaha memastikan pengundi memahami visi dan objektif manisfesto yang ingin dibawakan olehnya menerusi Barisan Nasional.

“Saya sekarang mengejar masa dan setiap waktu itu sangat bernilai. Jadi apa saja platform yang boleh mendekati saya dan pengundi, saya akan gunakan,” katanya.

Lim bakal berdepan saingan tiga penjuru antara Bakri Jamaluddin (Perikatan Nasional) dan Gue Teck (PKR) pada PRN Melaka pada 20 Nov ini.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.