Melaka Maju 2010 Hasil Kesungguhan BN, Kredibiliti Pentadbiran Terbukti – Dira

JASIN, 17 Nov – Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berharap pengundi mengimbau kembali kejayaan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) dalam melakukan tadbir urus negara khususnya di negeri ini.

Katanya, berdasarkan pengalaman serta kredibiliti yang dimiliki kepimpinan, Melaka berjaya mencapai negeri maju pada tahun 2010 yang mencatatkan antara negeri terawal meraih status tersebut.

“Pencapaian BN di Melaka sehingga boleh meletakkan negeri ini sebagai yang pertama di Semenanjung Malaysia mencapai negara maju pada 2010 ketika BN memerintah dengan stabilnya.

“Sehingga kita tengok Melaka ini sering dibanjiri dengan kereta dari luar Melaka yang ini menandakan sektor pelancongan di negeri ini sangat bagus sehinggakan membantu semua industri kerana ada hotel, makanan termasuk yang jual goreng pisang, burger, cempedak sampaikan ‘coconut shake’ pun satu Malaysia kenal.

“Inilah impak mempunyai kerajaan negeri yang bagus jadi saya harap kali ini jangan fikir panjang meskipun BN tidak sesempurna mana namun setidaknya mencuba untuk menjadi yang terbaik,” katanya.

Tambah Khaidhirah yang lebih dikenali sebagai Dira berkata kemajuan yang dicapai oleh Melaka juga dilakukan secara menyeluruh sehingga tidak ada dalam kalangan rakyat yang tercicir daripada menikmati arus perubahan tersebut.

“Banyak benda sudah berubah dan perkara yang paling penting adalah tidak ada orang yang tercicir dalam aspek kemudahan dan peluang yang diberikan dan sebagainya… keseluruhan rakyat merasai segala aspek pembangunan yang dilakukan kerajaan BN.

“Kita masukkan semua lapisan masyarakat, agama, etnik, umur, kaya, kurang kaya dan kurang kemampuan serta sebagainya lagi.

“Pendidikan asas seperti sekolah rendah untuk bangsa Cina dan India ada dengan sekolah jenis kebangsaannya namun dalam pada masa yang sama tidak ada pun yang akan dipaksa untuk semua masuk sekolah kebangsaan sahaja. Apa yang disediakan adalah peluang yang sama rata serta pembangunan yang sama bermakna kita tidak pinggirkan sesiapa ianya sama ada kita mahu mengambilnya atau tidak,” katanya lagi. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.