Dr Akmal Ada Kelebihan, Kekalkan Merlimau Pada BN – Bastien

JASIN, 17 Nov – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Bastien Onn berpandangan kredibiliti calon Barisan Nasional (BN), Dr Muhamad Akmal Saleh merupakan kelebihan yang dimiliki untuk parti mengekalkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Katanya, ini kerana Dr Akmal merupakan calon muka baharu, muda serta berlatar belakangkan golongan profesional.

“Dr Akmal ini calon daripada BN yang merupakan calon tumpuan bukan sahaja kerana beliau adalah calon orang muda tetapi menampilkan sisi lain iaitu golongan profesional.

“Kita hendak melihat bagaimana penerimaan pengundi di Merlimau yang dahulu calonnya orang lama kali ini kita menampilkan berbeza. Bagaimana kebolehan calon menagih keyakinan daripada pengundi di sini.

“Kejayaan Dr Akmal ini kelak akan membolehkan kita menggunakan alasan yang sama untuk meluaskan kriteria pemilihan calon ini untuk Pilihan Raya Umum. Sebab itu saya katakan Dr Akmal merupakan calon tumpuan,” katanya kepada UMNO Online di sini hari ini.

Bastien yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Segamat berkata secara keseluruhannya beliau melihat momentum sokongan rakyat kepada BN adalah pada tahap terbaik.

“Kita melihat ada sedikit harapan berhubung dengan keyakinan pengundi kepada BN saya lihat dari segi respon orang ramai terhadap calon daripada layanan mereka di tempat awam,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.