Berikan Sokongan, Dokongan Berterusan Kepada Calon BN – Ridhwan Ali

HANG TUAH JAYA, 17 Nov – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata berbaki tiga hari lagi jentera terus diperhebatkan.

Beliau menyeru masyarakat Hang Tuah Jaya terus memberikan sokongan berterusan kepada calon BN di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut bagi memastikan kemajuan berterusan.

“Saya mewakili rakan-rakan kepimpinan dan juga calon-calon yang ingin diketengahkan nanti mohon berikan sokongan, dokongan dan juga mandat daripada semua penduduk-penduduk masyarakat di keempat-empat DUN Hang Tuah Jaya iaitu Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Bukit Katil dan Ayer Molek.

“Rakan-rakan kepimpinan mengharapkan jentera BN dapat mengeluarkan pengundi pada 20 November ini kerana ianya penting untuk harapan dan masa depan negeri dan negara agar kesinambungan kepimpinan di bawah Datuk Seri Sulaiman Md Ali dapat diteruskan bersama, insya-Allah.

“Kita telah berusaha dalam kempen ini bertemu dengan semua pengundi yang ada dan bergerak merayu undi serta menerangkan intipati manifesto BN,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya turut yakin calon-calon yang diketengahkan oleh BN mampu memberi khidmat yang terbaik jika diberikan mandat.

“Insya-Allah… wakil-wakil dari BN tidak akan mensia-siakan mandat yang diberikan oleh pengundi pada 20 November ini,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.