Zahari Yakin Rampas DUN Durian Tunggal, Selesaikan Masalah Banjir

ALOR GAJAH, 16 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal Zahari Abd Kalil yakin merampas kembali kerusi DUN itu di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.

Beliau yakin peluang BN cerah berdasarkan rekod dipegang sejak sekian lama sebelum tumpas dengan hanya majoriti 763 pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lepas.

“BN telah menunjukkan prestasi baik dan tidak pernah menghentikan gerak kerja membantu dan menjaga kebajikan rakyat, sekiranya diberikan mandat semula kita akan teruskan usaha ini,” katanya.

Antara perkara yang menjadi keutamaan Zahari adalah menyelesaikan isu banjir kilat yang saban tahun diharungi penduduk di kawasan itu sekiranya diberi mandat pada PRN Melaka 20 Nov ini.

Anak jati Kampung Beringin berusia 48 tahun itu berkata antara langkah yang akan diambil kelak meliputi projek tebatan banjir, menambah baik sistem perparitan, saliran dan sungai yang dikenal pasti menjadi punca masalah yang sering berlaku sekiranya hujan lebat.

“Banjir kilat ini dilihat menjadi ‘acara tahunan’ hingga membebankan penduduk dan kita memang tidak boleh lari daripada masalah ini kerana banyak penempatan berada di kawasan tanah rendah yang berdekatan sungai namun (saya) akan berusaha menanganinya dengan melihat apakah langkah yang boleh diambil.

“Masalah ini akan diselesaikan secara berperingkat-peringkat dan berterusan bagi memastikan pelaksanaannya dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zahari yang juga seorang usahawan dan pernah aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia juga mahu memberi tumpuan membantu meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak di DUN Durian Tunggal dengan menjadikan balai raya di kawasan itu sebagai tempat pembelajaran tambahan.

DUN Durian Tunggal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Zahari yang berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Ja’afar Othman, penyandang iaitu Datuk Mohd Sofi Abd Wahab daripada Pakatan Harapan (PH) dan Mohd Erfan Mahrilar (Bebas).

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal berlangsung hari ini, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.