Siti Faizah Komited Berkhidmat Sebaiknya Untuk Rakyat


JASIN, 16 Nov – Calon wanita muda daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis meluahkan penghargaan beliau dengan amanah yang diberikan parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.

Jelas beliau, menjadi salah seorang daripada 28 calon adalah suatu penghormatan dan beliau berjanji akan melakukan sebaiknya kepada rakyat di sini sekiranya dipilih pada 20 Nov ini.

“Saya amat syukur dan bangga kerana diberi peluang untuk menjadi pemimpin dan diterima oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Bagi saya 86 peratus muka baharu ini adalah bertetapan dengan kehendak akar umbi,” katanya.

Siti Faizah juga berhasrat untuk menyambung perancangan yang dilakukan oleh bekas ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman di samping melaksanakan idea-idea pembangunan baharu di kawasan berkenaan.

“Sekiranya diberi peluang insya-Allah saya akan meneruskan apa yang telah direncanakan oleh kepimpinan lepas.

“Kita akan duduk dan berbincang untuk tambah baikkan lagi apa telah ada di kawasan ini khususnya adalah pembangunan dan pelancongan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.