Rakyat Muak Dengan PH, Akui BN Terbaik – Koh Chin Han

JASIN, 16 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Koh Chin Han mengakui beliau menerima pelbagai keluhan daripada rakyat yang muak dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Katanya, mengambil pengajaran dari itu rakyat khususnya di Bemban meluahkan keyakinan Melaka hanya akan terus cemerlang sekiranya ditadbir BN berdasarkan pencapaian selama tempoh 60 tahun.

“Saya menerima sambutan yang begitu baik bukan sahaja dari pengundi Cina tetapi juga dari orang Melayu dan India… mereka mempunyai keyakinan ke atas BN bahawa parti ini yang mampu melakukan tadbir urus terbaik bukan lagi PH yang tidak boleh percaya begitu juga parti-parti yang lain.

“BN adalah sebuah parti yang sudah lama mentadbir negara maka pengalaman serta kebolehan yang ada ini bukan sebarangan.

“Rakyat memberi respon kepada saya bahawa mereka berkeyakinan ke atas BN maka calon-calon yang mewakili ini mendapat sambutan yang begitu positif dan mereka mahu pastikan saya menang secara bergaya pada 20 Nov ini dan akan mewakili mereka di persidangan DUN Melaka kelak,” katanya kepada UMNO Online.

Sementara itu, beliau memberikan pandangan bahawa keunikan di Bemban ini adalah kepelbagaian kaum kerana bagi beliau kehidupan rakyat yang majmuk memainkan peranan ke arah kemajuan negeri.

“DUN Bemban ini bagaikan rakyat Malaysia kerana masyarakatnya hidup majmuk terdiri daripada pelbagai kaum.

“Saya mempunyai satu impian untuk membentuk masyarakat yang harmoni kerana bagi saya ini adalah syarat pertama untuk kita bentuk kestabilan politik, ekonomi.

“Rakyatnya kena harmoni disebabkan kepelbagaian kaum ini merupakan kekuatan kita maka saya akan menggunakan aspek ini sebagai kekuatan di DUN Bemban dengan bantuan agensi kerajaan yang lain supaya rakyat dapat hidup dengan selesa dan bahagia,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.