Undi BN… Jangan Ulangi Kesilapan PRU14, Semak Maklumat Diterima – Zaidi Attan

JASIN, 16 Nov – Rakyat perlu menilai sebaiknya maklumat yang diterima daripada media sosial mengambil kira situasi yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, kata calon Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Katanya apatah lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menyaksikan kempen norma baharu diadakan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Cabaran ini perlu digarap dengan betul kerana pada hemat saya pandemik ini merupakan sebahagian daripada cabaran untuk kita merealisasikan kaedah-kaedah yang telah dibuat di negara maju. Sebabkan pandemik ini kita lihat secara positif dengan adanya SOP baharu yang menjurus ke arah kaedah kempen yang tidak sama dengan secara konvensional.

“Jadi cabaran ini perlu diurus dengan baik namun yang pentingnya pengundi atau rakyat mendapat maklumat yang betul dan menganalisa dengan tidak membuat kesilapan seperti mana pada PRU14. Apabila rakyat ataupun pengundi terlalu percaya dengan media baharu yang akhirnya menyebabkan rakyat membuat keputusan yang salah,” ujar beliau kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Zaidi yang juga penyandang bagi kerusi berkenaan, beliau berpandangan pemilihan calon wakil rakyat ini adalah suatu keputusan yang sangat penting kerana golongan ini yang bakal mencorak pentadbiran negeri.

“Ini adalah perkara yang besar iaitu membina negeri dengan memilih calon yang akan membuat dasar… ini bukan suatu perkara yang remeh.

“Memerlukan penilaian yang sangat betul supaya kerajaan yang kita bakal bentuk nanti merupakan keadaan yang stabil dan kita dapat mengurus pentadbiran negara dengan betul untuk memberi kepada generasi akan datang satu sistem pentadbiran yang baik,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.