Berikan Mandat Sepenuhnya Kepada BN Untuk Kemakmuran – Rahmad

AYER MOLEK, 16 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman menyeru rakyat memberikan mandat sebaik-baiknya kepada BN di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.

Katanya, ini supaya BN akan menjadi sebuah kerajaan yang kukuh bukannya kerajaan campuran kerana kerajaan campuran mendatangkan risiko kepada kestabilan politik.

Tambahnya, mengambil contoh antara punca Pakatan Harapan (PH) jatuh dan kerajaan negeri Melaka dibubarkan adalah disebabkan tidak ada kestabilan dalam politik.

“Paling penting sasaran BN untuk menjadi sebuah kerajaan yang stabil dan memakmurkan rakyat maka pilihlah BN dan insya-Allah (BN) akan membalas jasa dan budi rakyat untuk menguruskan negeri Melaka dengan lebih baik lagi.

“Kepada pengundi awal dan pengundi pos, saya menyeru kepada semua pengundi supaya menterjemahkan sokongan demi kestabilan dan kemakmuran,” katanya kepada UMNO Online baru-baru ini di sini.

Berhubung dengan kempen dalam suasana norma baharu, penyandang kerusi DUN tersebut yakin dengan usaha jentera yang semakin agresif bagi memastikan kemenangan BN.

“Dalam tempoh seminggu berkempen pada awalnya nampak perlahan dan pergerakan semua parti juga perlahan tapi baru-baru ini telah menampakkan pergerakan yang lebih agresif.

“Bahan-bahan kempen sudah bermula dipasangkan dan melihat pergerakan calon-calon dari pihak sebelah sana pun sudah mula bergerak dengan agak aktif.

“Saya menasihatkan rakan-rakan jentera parti supaya lebih agresif dalam pergerakan menyantuni masyarakat dengan berbagai cara dan kaedah untuk bertemu seramai mungkin seperti contoh kenduri, kematian dan sebagainya,” katanya lagi.

Begitu juga ulasnya di dalam menangani tindakan pihak lawan yang cuba mencetuskan isu-isu lama untuk menarik undi walaupun telah diselesaikan.

Hari ini, sebanyak 24 Pusat Pengundian Awal (PPA) dibuka bagi proses pengundian awal bermula dari 8 pagi hingga 5 petang yang melibatkan seramai 11,557 orang pengundi awal. – UMNO ONLINE

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.