Manifesto BN Terhidang, Peluang Untuk Rakyat Melaka Buat Pertimbangan – Ab Rauf

MASJID TANAH, 15 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berharap manifesto yang dihidangkan kepada rakyat negeri berkenaan menjadi pertimbangan kepada para pengundi sebelum membuat pilihan dengan memilih BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 Nov ini.

Ini kerana katanya manifesto yang merangkumi pelbagai aspek serta mempunyai lima teras utama dengan pelbagai tumpuan serta pembangunan negeri adalah untuk kepentingan rakyat Melaka itu sendiri.

“Manifesto adalah satu kerangka untuk memudahkan kita urus tadbir negeri. Jadi saya lihat manifesto ini adalah satu garis panduan untuk urusan-urusan dalam kerajaan pada kemudian hari yang boleh digunakan sebagai pengisian kepada kehendak rakyat apa yang kita tawarkan sewaktu pilihan raya,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Menjelaskan salah satu tumpuan berkenaan, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan calon BN untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara seterusnya menambah tumpuan terhadap sektor pelancongan adalah satu perkara yang cukup baik.

Ini kerana katanya sektor tersebut memberikan manfaat ekonomi yang cukup besar bukan sahaja kepada negeri malah kepada rakyat Melaka itu sendiri.

“Sektor pelancongan merupakan sektor utama dalam menyumbang kepada ekonomi Melaka. Ianya memberikan pulangan yang baik kepada sektor ini yang dilihat sedikit suram akibat pandemik dalam beberapa tahun yang lepas.

“Sumber ekonomi pelancongan ini telah menaikkan Melaka sebuah negeri pelancongan terbaik. Jadi saya melihat sekiranya kita diberikan mandat, kita akan lihat sektor pelancongan boleh ditingkatkan dan ditambah nilai yang mana pelbagai sudut pelancongan ini boleh diberikan peluang kepada pemain-pemain industri pelancongan ini agar mereka dapat mengembangkan industri ini dengan lebih baik lagi.

“Sebagai contoh…saya juga melihat industri pelancongan juga telah memberikan peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Melaka dalam sudut perhotelan umpamanya, pengangkutan awam dan sebagainya lagi. Sektor ini akan berkembang secara automatik apabila orang ramai datang ke Melaka,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.