Komitmen Jentera Tempatan Cukup Utuh, Cikgu Rosli Boleh Menang – Mutalif

KUALA LINGGI, 15 Nov – UMNO Petaling Jaya akan terus melipatgandakan usaha bersama-sama dengan jentera tempatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Linggi dalam usaha membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) DUN Kuala Linggi, Rosli Abdullah atau dikenali Cikgu Rosli mencapai kemenangan 20 Nov nanti.

Ketuanya Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata jalinan yang cukup erat serta kerjasama yang padu sudah pasti memberi nilai tambah malah kebersamaan mereka terutama semangat jentera tempatan berada di tahap yang cukup tinggi.

“Alhamdulillah..pertamanya kita agak terkejut jugalah melihat kebersamaan penduduk tempatan ini. Kehadiran pemimpin BN lain yang disambut oleh penduduk tempatan walaupun kempen agak berbeza, dalam suasana baharu…

“Syukur kepada Allah jentera tempatan dilihat bersungguh-sungguh bekerja dan tidak ada rungutan walaupun kempen dengan norma baharu dan kita juga mendoakan semoga Allah jauhkan kita daripada segala musibah,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Berkongsi pengalamannya di kawasan tersebut, beliau memberitahu suasana pada kali ini agak berbeza di kawasan tersebut yang mana pada pilihan raya umum (PRU) lalu BN tewas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Linggi.

“Pengundinya 1,000 lebih. PRU-14 kita kalah tetapi kali ini saya agak terkejut…ketika saya minum di gerai dekat sini masyarakat Cina, Melayu nampak betul-betul sebagai keluarga Malaysia.

“Saya secara kebetulan berborak dengan pengundi di sini…mereka mengatakan rakyat dah nampak segala tohmahan dan saya yakin dan doakan calon-calon BN menang kelak. Paling tidak disangka mereka mengatakan bekerja kuatlah Datuk…ini dialog orang kampung. Saya yakin dan percaya kemenangan kepada calon-calon BN nanti,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut percaya golongan muda terutamanya tidak akan melupakan kisah silam sewaktu PRU lalu.

“Cukup-cukuplah dipermainkan. Lupa boleh tetapi nak maafkan agak susah apabila anak muda dipermainkan sebelum ini dengan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan sebagainya..ibarat semua percuma tetapi akhirnya apa berlaku mereka menyesal. Jadi sesal kemudian tidak berguna,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau turut berharap agar pengundi khususnya agar tidak mudah terjerat dengan mainan persepsi dan sebagainya terutama pada waktu akhir berkempen.

“Alhamdulillah…PRU-14 telah mendewasakan rakyat khususnya kepada anak muda. Kalau kita lihat dan ini sejarah atau fakta…Datuk Seri Najib atau ’Bossku’ jatuh sebab media sosial dan itu realiti serta fakta. Tetapi hari ini ‘Bossku’ diangkat oleh media sosial termasuklah juga dengan pemimpin-pemimpin kita yang lain.

“Saya nak nasihatkan anak-anak muda dan pengundi di Melaka berhati-hati walaupun kita tahu ada macam-macam jentera media sosial daripada pelbagai pihak tetapi bijaklah…lihat boleh namun percaya jangan,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas