Kemudahan Internet, Peluang Pekerjaan Dan Pendidikan Fokus Dira

JASIN, 15 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar memberi penekanan kepada beberapa aspek termasuk kemudahan internet, peluang pekerjaan serta pendidikan sekiranya memperoleh kepercayaan pengundi di kawasan ini pada 20 Nov depan.

Katanya, kemudahan internet menjadi tumpuan beliau kerana ianya merupakan suatu keperluan memandangkan segala urusan harian dilakukan menggunakan jalur lebar.

“Rim adalah kawasan luar bandar, mempunyai norma kehidupan yang sangat tenang namun ada potensi dalam masa yang sama… sekiranya dipilih fokusnya adalah capaian internet dan juga selular kerana ada sebahagian kawasan tidak dapat kerana terletak di bahagian hujung negeri. Jadi kita boleh lakukannya kerana ini adalah keperluan asas ketika ini.

“Kemudahan platform internet ini sangat bagus kepada masyarakat di DUN ini termasuk kepada peniaga-peniaga industri kecil yang ada di kawasan ini yang buat produk ‘homemade’ boleh kembangkan melalui sosial media dan sebagainya.

“Informasi tentang insentif yang kerajaan berikan boleh disalurkan dengan lebih baik kepada rakyat di sini. Maka mereka tidak terlepas dengan bantuan apatah lagi kita berdepan COVID-19 dalam tempoh dua tahun ini benda asas seperti daftar nama anak pun kena buat temujanji,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.

Jelas Khaidhirah yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang lebih senang disapa sebagai Dira berkata, beliau juga akan turut sama memperkasakan sektor pendidikan di kawasan ini.

“Anak-anak di Rim ini bila saya tengok ada yang dapat 8A dan sebagainya, saya lihat banyak potensi belia untuk memperkasakan diri dalam bidang pendidikan.

“Seterusnya sudah tentu peluang pekerjaan di kawasan ini sendiri, banyak industri yang kita dapat lihat selain peruncitan harian tetapi juga industri agro seperti perladangan, pertanian,” ujar beliau.

Tambahnya, beliau juga mahu mengekalkan generasi muda yang berkebolehan untuk meneruskan kerjaya di sini bagi merancakkan perkembangan ekonomi di DUN Rim.

“Kita tidak mahu mereka keluar dari kawasan ini malah membantu untuk sama-sama membangunkan kawasan ini untuk manfaat masyarakat di sini,” ujar beliau.

Seterusnya, Khaidhirah menambah beliau juga akan menjaga kebajikan warga emas di DUN ini termasuk dalam aspek kemudahan kesihatan dan hospitaliti yang lebih baik.

“Jadi insya-Allah itu antara perkara yang saya nampak,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.