Beri Peluang Sulaiman Sambung Pembangunan Melaka – Dr Adham

JASIN, 15 Nov – Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berharap rakyat Melaka memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memimpin negeri ini bagi meneruskan kesinambungan pembangunan yang dirangka oleh calon Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Katanya BN juga mempertaruhkan calon yang berwibawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) agar membantu kerangka tersebut bagi memastikan negeri bersejarah ini mencapai kemajuan sekaligus membawa manfaat kepada rakyat.

“Tarikh 20 Nov yang paling penting untuk rakyat dan juga pengundi negeri ini menerima tawaran BN untuk pastikan kerajaan yang dipimpin kelak oleh Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang akan menerajui negeri ini.

“Kita yakin bukan sahaja bentuk pentadbiran yang lebih cekap dan juga mesra malah yakin dengan kebolehan calon yang bertanding untuk memastikan Melaka terus maju dan bersaing hebat setaraf dengan negeri-negeri maju yang lain,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tenggara itu juga menyifatkan manifesto yang ditawarkan BN merupakan agenda realistik yang telah direncanakan malah ianya juga berperanan sebagai penghubung di antara rakyat dan kerajaan.

“Kita mahu menawarkan perkhidmatan yang terbaik malah manifesto yang diberikan adalah bertepatan dengan kehendak rakyat.

“BN tentu sekali dengan pengalaman yang luas sudah tentu akan memberikan perkhidmatan yang cekap secara tersusun untuk kita realisasikan melalui PRN ini.

“Kalau kita lihat pergerakan calon yang mewakili setiap Dewan Undangan Negeri dalam PRN ini adalah mereka yang mampu menterjemahkan aku janji itu dalam bentuk tindakan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.