Persempadanan Semula: Penduduk Sg Udang ‘Terpinggir’ Akan Diberi Perhatian – Mohamad Ali

MELAKA, 14 Nov – Isu penduduk di Sungai Udang di sini yang ‘terpinggir’ terutama dari aspek kebajikan dan bantuan, akan menjadi satu fokus utama bagi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, sekiranya mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata isu tersebut perlu dipandang serius, kerana penduduk terlibat merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan berhak menikmati keistimewaan sebagai penduduk di kawasan itu.

Menyifatkan keadaan itu sebagai tidak wajar berlaku dan tidak adil kepada penduduk terlibat, katanya beliau bersedia membantu apa jua masalah yang dihadapi penduduk terlibat, sebagai sebahagian tanggungjawabnya jika diberi amanah sebagai wakil rakyat DUN Sungai Udang.

“Mereka masih sebahagian daripada pengundi di DUN Sungai Udang walaupun taman perumahan dan kampung tersebut telah digazetkan sebagai kawasan di dalam DUN Lendu, disebabkan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Sebagai wakil rakyat kita perlu memberikan perkhidmatan kepada rakyat, walaupun mereka bukan tinggal di dalam DUN yang kita wakili dan ia sebahagian daripada tanggungjawab seorang wakil rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Klebang di sini hari ini.

Semalam Bernama melaporkan penduduk di dua taman perumahan dan sebuah kampung di sini, memohon kepada kerajaan agar menyelesaikan masalah taman dan kampung mereka yang ‘terpinggir’, ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2018.

Penduduk taman dan kampung, Rahmat Jalil dilapor berkata ekoran persempadanan, Taman Indah, Taman Terendak Heights dan Perkampungan Tanah Merah, dimasukkan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di bawah daerah Alor Gajah, namun penduduknya pengundi kawasan DUN Sungai Udang.

Menurut Rahmat ‘kelainan’ itu menyebabkan penduduk di tiga kawasan berkenaan sukar mendapatkan bantuan daripada wakil rakyat, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan pihak berkuasa tempatan, kerana pihak tersebut turut keliru dengan situasi tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata isu bagi tiga kawasan berkenaan akan diteliti semula dan rayuan akan dibuat agar tiga penempatan itu diletakkan di bawah DUN Sungai Udang, sekiranya cadangan persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan sekali lagi pada masa akan datang.

Beliau berkata isu lain yang dibangkitkan penduduk di DUN Sungai Udang seperti kemudahan jalan raya, fasiliti kesihatan dan pendidikan turut akan diberi perhatian bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Sungai Udang terletak dalam kawasan Parlimen Tangga Batu, selain wujud Kem Terendak yang merupakan kem tentera, Penjara Sungai Udang dan Loji Penapisan Petronas dengan jumlah pengundi berdaftar sebanyak 22,866 orang dan 9,577 orang daripadanya adalah tentera dan polis, yang juga pengundi awal.

PRN Melaka pada 20 Nov ini bakal menyaksikan saingan empat penjuru antara Mohamad Ali, Dr Mohd Aleef Yusof (Perikatan Nasional), Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan) dan Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd Zahar Hasim (Bebas).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi Datuk Seri Idris Haron dari BN dengan majoriti 2,229 undi, menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR).

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. – BERNAMA