Manifesto Janji Kami, Akan Pastikan IKS Di Sg Rambai Terus Berkembang Maju – Siti Faizah


JASIN, 14 Nov – Manifesto yang dibentangkan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini merupakan satu janji dan komitmen dari parti, ujar calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai Siti Faizah Datuk Abdul Azis.

Merujuk kepada kawasannya, Siti Faizah berjanji akan memastikan industri kecil dan sederhana (IKS) terus berkembang maju seiring dengan peredaran zaman.

“Insya-Allah jika kami diberikan kepercayaan dan kepercayaan itu diperlihatkan dalam bentuk undi pada 20hb ini, saya berjanji akan memastikan sektor-sektor IKS seperti nelayan, petani dan peniaga akan terus berkembang dan seiring dengan perkembangan peredaran zaman.

“Misalan di Jeti Nelayan Sebatu ini, selain dari memastikan pendapatan dan ekonomi para nelayan dapat berkembang, kebajikan para nelayan juga akan kami pastikan terjaga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pagi ini.

Jelasnya lagi, prasarana yang sesuai juga akan disediakan di kawasan-kawasan yang strategik supaya melancarkan lagi sektor-sektor IKS ini.

“Inilah sebenarnya yang salah satu industri yang memacu ekonomi negara.

“Tidak mustahil jika kita majukan kawasan ini, ia dapat menarik minat pembeli dari luar dan dalam DUN Sungai Rambai dan ia berpotensi menjadi sebuah pusat pelancongan.

“Kemakmuran mampu dicapai dengan wujudnya kestabilan sesama kita,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.