PH Tipu… Kenapa Perlu Undi Mereka Lagi? Soal Anak Muda

KOTA MELAKA, 13 Nov – Golongan muda perlu mengingati janji kosong yang pernah diberikan oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, demikian luahan daripada anak muda negeri Melaka.

Bagi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Amaluddin Abdullah, 34 tahun beliau mengajak rakyat untuk menolak PH berdasarkan janji yang diberikan mereka yang disifatkan beliau sebagai suatu penipuan.

“Pada saya terutamanya anak muda tidak perlu la untuk mengundi PH sebab mereka telah banyak menipu kita contohnya konon hendak menghapuskan tol, hutang Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) jadi buat apa kita hendak undi PH?

“PH memang tidak ada langsung ambil tahu terutama kawasan di majoriti Melayu tak pernah sekalipun waktu banjir atau COVID-19 hantar bantuan makanan atau keperluan asas waima sehingga ke hari ini,” katanya.

Tambahnya lagi, ini berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang telah banyak membantu khususnya di kawasan ini.

“Apa yang dilakukan BN adalah terbaik kerana mereka tidak janjikan bulan dan bintang malah cuba untuk membantu rakyat di kala negara sedang dilanda COVID-19 kita tengok berapa banyak kerajaan BN khususnya UMNO banyak turun padang dan membantu rakyat,” ujar beliau.

Sementara itu pendapat sama turut diberikan Khairul Nizam Abdul Kamadin, 39 tahun yang kesal dengan PH apabila selama 22 bulan pentadbiran mereka rakyat tidak menerima bantuan yang sewajarnya daripada kerajaan negeri yang seharusnya prihatin dengan keadaan rakyat.

“Dari segi bantuan kepada rakyat banyak yang disekat ramai yang tidak dapat. Sedangkan PH ini banyak yang sambung legasi BN.

“Berbeza dengan BN yang banyak membantu ada juga yang dapat sumbangan Jabatan Kemajuan Masyarakat atau infrastruktur longkang dan sebagainya. Alhamdulillah makin baik sejak Melaka ditadbir oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Ali,” ujar beliau.

Kerani, Azra Ithnin, 34 tahun berharap rakyat di negeri ini mampu membuat keputusan bijak dengan memilih BN untuk menerajui Melaka ke arah kestabilan dan kemajuan bandaraya bersejarah ini.

“Saya berharap agar calon yang BN ini lebih baik daripada sebelum ini sebab sebelum ini saya bekerja di bawah pentadbiran mereka agak susah sikit untuk bekerjasama dengan mereka.

“Jadi saya harap selepas ini BN dapat menerajui DUN Duyong untuk lebih cemerlang di masa akan datang. Saya harap rakyat di negeri Melaka khususnya DUN Duyong ini menyokong BN untuk kestabilan, kemakmuran di negeri Melaka,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.