Calon BN Bemban Sudah Sedia Perancangan Atasi Masalah Kesesakan Trafik

JASIN, 13 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban Datuk Koh Chin Han sudah mempunyai perancangan menangani masalah kesesakan lalu lintas di kawasan itu, jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

Beliau berkata perkara ini termasuk dalam janji ketiga dalam manifestonya yang diumumkan hari ini.

“Kami juga telah mempunyai perancangan pembinaan jalan raya yang lengkap, termasuk pembinaan jalan baharu untuk mengurangkan kesesakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pengerusi MCA Bahagian Jasin itu berkata empat fokus lain dalam manifestonya ialah usaha untuk merangsang semula ekonomi dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bagi menjaga kebajikan rakyat dalam mendepani cabaran pandemik yang telah memberi kesan besar ke atas semua lapisan masyarakat.

“Antara yang saya ingin lakukan ialah bekerja sama dengan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dengan menetapkan dasar-dasar pembangunan yang dapat merangsang ekonomi, menarik lebih ramai kedatangan pelabur ke kawasan ini sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

“Seterusnya saya juga bertekad untuk membantu menyelesaikan masalah banjir kilat di Bemban dengan memperkenalkan pelan mitigasi kerana ia kerap berlaku sehingga ada penduduk yang tidak lena tidur apabila hujan lebat,” katanya.

Koh, 51, berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial dari Universiti Kebangsaan Malaysia juga berhasrat untuk memupuk keharmonian kaum dengan memperbanyak program kemasyarakatan bagi meningkatkan persefahaman, iaitu teras dalam semangat Keluarga Malaysia.

“Saya juga mahu memperkasa wanita dan belia di samping melindungi kanak-kanak dan warga emas serta menyediakan peruntukan kepada persatuan golongan itu untuk melatih anak-anak muda Bemban dalam melahirkan generasi muda yang lebih produktif dan boleh menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat,” katanya.

DUN Bemban bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru di antara Koh calon BN, Dr Mohd Yadzil Yaakub mewakili Perikatan Nasional (PN), Azmi Kamis (Bebas), Ng Choon Koon (Bebas) dan Tey Kok Kiew dari Pakatan Harapan (PH)

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DUN Bemban dimenangi Datuk Dr Wong Fort Pin (DAP) dengan majoriti 1,345.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.