Perkasakan Kuala Linggi Sebagai Destinasi Pelancongan Terkenal Antara Tumpuan Cikgu Rosli

MASJID TANAH, 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah telah menggariskan beberapa perancangan yang terbaik untuk kawasan berkenaan sekiranya diberikan mandat sebagai wakil rakyat pada 20 Nov nanti.

Beliau yang merupakan antara muka baharu yang diketengahkan oleh parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara lain penekanan yang utama adalah untuk memperkasakan lagi Kuala Linggi sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri Melaka.

Menurut beliau strategi serampang dua mata bukan sahaja membolehkan para pelancong datang ke kawasan berkenaan menikmati keindahan semula jadi Kuala Linggi, malah akan turut memberikan impak ekonomi kepada penduduk setempat.

“Saya bukan sahaja akan menyambung segala perancangan serta pelaksanaan yang telah dibuat oleh wakil rakyat sebelum ini malah akan terus melipatgandakan lagi usaha yang terbaik untuk kawasan ini sebagai destinasi pelancongan.

“Daripada Kuala Linggi sehinggalah ke Tanjung Bidara ianya merupakan kawasan pelancongan yang mana bukan sahaja dikunjungi orang ramai pada hujung minggu malah pada hari-hari biasa pun ramai pengunjung yang mengunjungi kawasan ini.

“Oleh itu matlamat saya adalah untuk memastikan Kuala Linggi pada masa akan datang akan terkenal sebagai pusat pelancongan secara tidak langsung tempias ekonominya dapat dirasai oleh penduduk setempat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Rosli turut mengakui hari kempen PRN Melaka yang masuk hari ketiga hari ini memberi sedikit kesukaran apabila terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi berkaitan yang lain.

“Namun apa pun kita tetap patuh dan menyelaraskan bentuk kempen bersesuaian dengan SOP semasa. Lori kempen bergerak turut digunakan termasuk penggunaan hilux dan sebagainya.

“Selain itu penggunaan teknologi terkini juga diperkasakan melalui media sosial tanpa mengenepikan kaedah konvensional lain seperti flyers dan sebagainya. Apa yang penting kaedah mana sekalipun yang utama adalah apa yang hendak kita sampaikan itu sampai kepada rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas