Pembangunan Modal Insan, Pendidikan Tumpuan Cikgu Hameed Di Ayer Limau

MASJID TANAH, 12 Nov – Pembangunan modal insan selain soal pendidikan untuk masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau merupakan antara perkara yang bakal menjadi tumpuan bagi calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Hameed Mytheen Kunju Basheer sekiranya diberi mandat pada 20 November depan.

Beliau yang merupakan antara muka baharu calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seterusnya menambah kedua-duanya merupakan gabungan yang terbaik dalam usaha melahirkan masyarakat yang stabil.

“Saya tidak boleh mengubah dasar negara, saya tidak boleh mengubah dasar kerajaan tetapi saya beriltizam untuk membantu rakyat di kawasan ini dengan memberikan tumpuan satu keluarga satu anak berpendidikan.

“Tumpuan pendidikan perlu dibantu…saya kerap berdamping dengan sekolah dan kebetulan saya seorang guru sebelum ini. Bagi sayalah…TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), pendidikan vokasional juga pendidikan. Tidak semestinya berpendidikan akademik memerlukan ijazah atau PHD (doktor falsafah). Kemahiran juga pendidikan dan pendidikan ini luas skopnya,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut beliau seterusnya memberitahu satu rumah satu golongan berpendidikan dan diadun pula dengan pembangunan insan maka akan lahirlah generasi yang makmur.

Menyentuh soal belia, beliau memikirkan perlunya ikon untuk anak muda di setiap lapisan kumpulan supaya kejayaan ikon berkenaan menjadi suntikan semangat kepada mereka yang lain untuk terus berjaya.

“Saya pernah berada dalam belia juga dahulu. Golongan belia dahagakan kasih sayang dan jika kita boleh berdamping dengan mereka insya-Allah kita akan dapat menyelami apa kehendak apa kemahuan mereka. Untuk itu, saya merasakan perlu ada satu ikon dalam kumpulan kecil anak muda tidak kisahlah mereka ini datang daripada kumpulan motor, sukan atau apa sekalipun.

“Lantik anak muda yang berjaya di kalangan mereka…ambil contoh jika mereka ini berjaya…berjaya ini subjektif…ada orang kata berjaya dengan pendidikan…ada orang kata berjaya dengan kewangan atau ekonomi.

“Bagi saya berjaya ini merangkumi semua, ekonominya…pendidikannya, sahsiahnya sebab itu saya katakan tadi pendidikan digabungkan dengan pembangunan insan barulah lahir masyarakat yang makmur,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.