Isu Banjir Keutamaan Calon DUN Pengkalan Batu

MELAKA, 12 Nov – Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Kalsom Nordin akan memberikan fokus untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan tersebut sekiranya beliau mendapat kepercayaan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Jelasnya, beliau menerima pelbagai aduan daripada rakyat yang khuatir sekiranya hujan lebat kerana bimbang air di kawasan tersebut naik dan menyebabkan berlakunya banjir.

“Serius saya katakan di kawasan ini banyak lagi tempat yang harus dibaiki contohnya dari segi pelupusan sampah, longkang yang tersumbat.

“Isu besar yang terjadi di sini adalah banjir, itu antara perkara yang akan teliti dan akan diperbaiki.

“Sampaikan kalau hujan kita jadi takut sebab ada tempat-tempat yang akan dinaiki air. Jadi kita mahukan kawasan ini dibaiki demi kesejahteraan rakyat negeri Melaka khususnya di Pangkalan Batu,” ujarnya ketika ditemui UMNO Online.

Melihat kepada keadaan itu beliau berkata demi memastikan rakyat mendapat keprihatinan yang sewajarnya pengundi perlu memastikan kerajaan negeri kembali ditadbir oleh BN.

Menurut bekas ahli perniagaan itu, ini kerana rakyat sudah melihat pengabaian yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh 22 bulan.

“Saya berharap rakyat terus menyokong BN. Sesungguhnya apa yang saya katakan ini adalah daripada hati saya sendiri selama 22 bulan selama pentadbiran PH cukup mengajar kita penyeksaan, kesengsaraan yang dihadapi rakyat.

“Jadi dengan adanya PRN kali ini kita hendakkan satu perubahan yang besar. Apa yang kita dapat selepas 22 bulan adalah yang ditadbir oleh BN yang sangat bagus tapi kali ini demi untuk rakyat sendiri kita mohon agar rakyat memilih balik kepimpinan yang ada iaitu BN,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.