Fokus Tangani Isu Banjir, Jadikan Duyong Syurga Penjaja – Helmy

KOTA MELAKA, 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berjanji akan berkhidmat dengan sebaik mungkin kepada rakyat di kawasan ini sekiranya beliau diberikan amanat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Katanya, antara aspek utama yang menjadi fokus adalah menangani isu banjir di kawasan tersebut melalui projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

“Banyak isu-isu yang kita telah terima yang tidak dapat diselesaikan tapi saya yakin dan percaya dengan mandat diberikan oleh warga Duyong ini nanti.

“Perkara pertama yang saya akan pasti bahawa kerajaan negeri mahupun Persekutuan melaksanakan segera RTB yang telah direncanakan lama dahulu tetapi ditangguhkan tanpa berita kerana masalah utama di sini adalah banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Rakyat semestinya berada dalam keadaan tidak selesa dan bahaya kerana hujan ini. Selain itu saya juga akan pastikan infrastuktur yang lama sudah tidak diselenggara yang lama ditinggalkan dibaiki pulih dan digunakan dengan sebaiknya,” ujar beliau ketika ditemui UMNO Online.

Sementara itu beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka juga mengimpikan untuk menjadikan DUN Duyung menjadi syurga penjaja dengan menaiktaraf kawasan ini menjadi ekonomi bandaraya.

“Daripada awal lagi saya menjadi ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) apa yang saya lakukan adalah ingin membandarayakan golongan penjaja.

“Menjadikan mereka ini bukan lagi diperkatakan berada dalam kategori kelas rendah lagi tapi menjadikan penjaja ini boleh menyara kehidupan mereka dengan selesa. Malah membantu mereka ini boleh mengambangkan perniagaan menjadi taraf industrI.

“Saya yakin dan percaya perkara ini boleh dilaksanakan sekiranya direncanakan dengan teratur dan tidak mustahil menjadi modul kepada ekonomi negeri Melaka ini sendiri,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.