Beri Peluang Saya Teruskan Khidmat Bakti Kepada Rakyat Serkam – Zaidi Attan

JASIN, 12 Nov – Sepanjang dua penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan melakukan banyak pembangunan di kawasan ini termasuk memberikan fokus kepada aspek pembangunan, kerohanian, pendidikan dan juga keusahawanan.

Berbekalkan kecemerlangan tersebut Zaidi sekali lagi dipertaruhkan untuk menjadi calon bagi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Banyak kaedah penyampaian yang telah saya lakukan kepada masyarakat di DUN ini dalam pelbagai bentuk kalau dari segi pembangunan fizikalnya setakat ini telah terbinanya tiga buah masjid… akan datang insya-Allah lagi dua masjid baharu iaitu Masjid Serkam Darat dan Masjid Kampung Bukit Tembakau.

“Bagi perniagaan pula pembangunan Pantai Siring sebagai pantai awam, fasa kedua ianya sebagai tempat perniagaan di atas pelantar laut ada jalan baharu insya-Allah jadi kerangka perancangan secara detailnya akan dilaksanakan pada tahun hadapan setelah proses pengambilan tanah selesai.

“Ada juga pembangunan Pekan Umbai yang kita rancang, kemudian pembangunan Klinik Kesihatan Tantri di kawasan Serkam Darat, dewan serbaguna bersaiz kapasiti untuk 1,000 orang di Taman Kulai Indah kemudian ada dewan kompleks mini sukan di Japerun Serkam ini antara pembangunan yang melibatkan infrastruktur yang agak besar,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Sepanjang tempoh tersebut juga Zaidi memaklumkan beliau turut mengambil usaha menangani masalah banjir di beberapa kawasan yang sering dinaiki air.

“Pada penggal pertama saya sudah selesaikan masalah banjir ini lebih kurang dalam 50 peratus sebab penggal yang lepas ini tidak dapat sebab hanya setahun enam bulan sahaja jadi kerajaan.

“Kalau selepas ini jika diberi peluang dapat diselesaikan masalah banjir ini di DUN Serkam kerana banjir bukan daripada atas kerana air pasang jadi air tidak boleh keluar kerana hujan lebat. Jadi ini antara perkara yang sedang diuruskan,” ujar beliau.

Sementara itu bagi aspek kebajikan rakyat pula beliau memaklumkan lebih kurang 10 peratus jumlah pengundi di bawah DUN ini mendapat bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 1,400 orang penerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Ini antara golongan yang perlu diberikan fokus untuk bukan hanya sampai bila-bila mereka hendak jadi penerima bantuan kita kena keluarkan mereka ini daripada situasi ini.

“Alhamdulillah ada beberapa kes yang sebelum ini mereka menerima bantuan zakat akhirnya mereka ini menyumbang kembali zakat kepada MAIM mereka ini berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Tambah beliau, program bina sahsiah masyarakat juga antara diberikan penekanan iaitu guru Al-Quran yang bertauliah dihantar mengajar ke kampung-kampung, melalui ini kanak-kanak berumur 12 tahun sudah diberi kepercayaan menjadi imam di masjid dan surau dengan kualiti bacaan mahir seperti golongan dewasa.

“Kami juga ada program di mana masjid bangunkan usahawan kita wujudkan Pasar Sunday di masjid dengan memberikan tempat berniaga… disertai juga ahli kariah masjid berniaga bukan untuk untung namun untuk bina masyarakat yang menyumbang kepada masjid.

“Kemudian ianya balas semula dengan mengadakan sumbangan kepada rakyat dalam bentuk bukan sahaja kebajikan tetapi dalam bentuk majlis ilmu,” jelas beliau. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.