Undi Lain Hati Tak Tenang… Lambang BN Tetap Jadi Pilihan – Pengundi

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung 20 November depan tentunya menjadi bualan dan bahan sembang penduduk setempat di negeri ini.

Pastinya pertembungan tiga penjuru di kebanyakan tempat yang melibatkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selain Bebas antara yang menarik minat penduduk setempat untuk diperkatakan.

Tidak terkecuali bagi penduduk di Pantai Puteri kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundur yang rata-rata melihat PRN ini sesuatu yang cukup menarik untuk disaksikan pada penghujung kempen nanti iaitu pada hari pembuangan undi.

Salah seorang pengundi di Pantai Kundur, Sarip Arshad, 66, berkata pertandingan tiga penjuru di kawasan tersebut adalah satu senario yang sudah dijangka dan melihat peluang BN yang mengetengahkah calon yang dekat dengan rakyat menjadi pilihan utama untuk mencapai kemenangan.

“Siapapun calon BN di Pantai Kundur ini kami tetap undi BN…kami tetap dengan BN…kak Ina yang menggunakan lambang BN menjadi pilihan. Bukan apalah…beliau cukup rapat dengan penduduk di sini walaupun sebelum ini tidak mempunyai apa-apa jawatan dan hanya Ketua Wanita UMNO sahaja,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang juga nelayan di Pantai Puteri Khairul Wahab, 44, turut mengakui telah mengenali calon yang diketengahkan oleh BN.

“Kak ini peramah. Kita kenduri ke apa dia datang. Dia bercampur dengan masyarakat. Mudah didekati malah mana-mana tempat kak ina selalu pergi dan jenis orang yang tidak sombong. Kalau dia boleh bantu dia akan bantu. Masa itu tidak ada jawatan apa-apa hanya ketua wanita sahaja. Hati kami ini…undi lain rasa tidak tenang,” tambahnya.

Manakala seorang lagi penduduk di kawasan berkenaan yang hanya mahu dikenali Salbiah, turut menyatakan perkara yang sama dan baginya bukan Kak Ina semata-mata tetapi logo BN itu sendiri yang menjadi lambang kepercayaan rakyat.

“BN telah lama membuktikan segala-galanya. Saya tidak katakan BN tidak pernah buat silap atau sebaliknya, namun jika dibandingkan dengan mana-mana parti, BN telah terbukti.

“Bukan sahaja di Melaka malah ketika memerintah negara. Banyak jasa dan banyak jugalah pembelaan kepada rakyat secara umum. Jadi PRN Melaka ini saya akan memberikan undi kepada parti yang telah terbukti dan bukan hanya parti omong kosong,” tambahnya.

Tiga penjuru di DUN Pantai Kundur membabitkan BN, Tuminah Kardi@ Mohd Hasim, PH, Datuk Norazman Hasan, PN, Mohd Ridzwan Mustafa. –  UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.