PRN Melaka: Norma Baharu Tidak Patahkan Semangat Jentera BN – Zahari

ALOR GAJAH, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Zahari Abd Kalil berkata semua parti politik yang terbabit perlu mengamalkan norma baharu ketika berkempen meraih undi.

Katanya, kempen dalam norma baharu ini penuh cabaran dan sukar namun ianya tidak mematahkan semangat yang membara bagi jentera BN.

“Kempen norma baharu ini tidak pernah berlaku di negara walaupun demikian ianya tidak melemahkan semangat jentera-jentera BN khususnya di Durian Tunggal dan akan terus mempergiat dan memperkasakan lagi jentera terutama sekali di PDM (Pusat Daerah Mengundi).

“Walaupun saya sendiri tidak dibenarkan berkempen ianya tidak mematahkan semangat dan terus menggerakkan jentera-jentera semampu yang boleh serta tetap meneruskan kempen melalui media sosial,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Dalam masa yang sama kata Zahari lagi, sekiranya diberi mandat beliau akan terus menjaga kebajikan rakyat Durian Tunggal.

“Kalau diberi mandat sebagai wakil rakyat DUN Durian Tunggal, saya akan selalu menyantuni masyarakat setiap waktu jika ada kelapangan dan akan memberikan infrastruktur yang terbaik serta mengambil tindakan secepatnya bagi mengelak banjir berulang kembali dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau menyokong tema manifesto ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ yang amat bertepatan dengan dasar BN selama ini.

“Tema ini cukup bermakna bagi rakyat Melaka yang mahukan kestabilan pernah dikecapi dulu. Sebagai contoh, rakyat sudah pernah merasai kehidupan yang tidak stabil semasa era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan pelbagai bangsa merasakan kecewa dengan pentadbirannya.

“Jika tidak ada kestabilan maka ekonomi negeri dan negara akan terus merundum maka seluruh rakyat Melaka menyokong tema ini demi mahu melihat rakyat hidup aman damai seperti suasana zaman pemerintahan BN terdahulu,” ujarnya.

Untuk rekod tema ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ bersesuaian dengan hasrat parti bagi memastikan negeri ini mencapai kestabilan di bawah pentadbiran BN kelak. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.