Kak Ina Sedia Berkhidmat Di Pantai Kundur, Warga Nelayan Antara Keutamaan

TANGGA BATU, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundur, Tuminah Kadi @ Mohd Hasim bertekad untuk terus membela nasib warga Nelayan di Pantai Puteri yang bergantung kepada hasil laut.

Beliau antara muka baharu yang diketengahkan BN berpendapat kegiatan ekonomi di kawasan Pantai Puteri yang rata-rata sebagai nelayan memerlukan tumpuan serta pembelaan yang sewajarnya agar ekonomi mereka terus dapat ditingkatkan.

“Untuk Pantai Kundur ini ianya lebih hampir kepada Pantai Puteri dan hampir 95 peratus adalah nelayan yang bergantung kepada hasil laut. Saya bertekad untuk tingkatkan ekonomi keluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Sebab saya tengok di Pantai Puteri ini banyak benda-benda daripada luar yang kita boleh bawa untuk pembangunan bukan setakat daripada hasil laut malah boleh mendatangkan pendapatan daripada segi perniagaan di sekitar Pantai Puteri ini.

“Keutamaan nelayan melebihi segala-galanya. Rungutan daripada nelayan pendapatan mereka berkurangan. Sebab itu bagi saya setiap perkara yang hendak dilaksanakan di kawasan ini mesti ada perbincangan bersama supaya situasi ‘win-win’ situation dapat dilaksanakan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya merayu agar para pengundi di kawasan Pantai Kundur memberinya peluang dengan memilih BN pada 20 November depan.

“Saya merayulah…bantulah saya untuk saya bantu warga nelayan di kawasan ini selain kumpulan masyarakat lain. Di Pantai Puteri ini hakisan memang teruk dan kita kena memperbaiki kerana ianya merupakan satu gangguan pendapatan kepada nelayan dan ini antara keutamaan saya juga.

“Kepada pengundi di DUN Pantai Kundur ini bantulah kak ina..bantulah ibu ini..bantulah kakak ini…bantulah saya supaya saya dapat berkhidmat di Pantai Kundur. Saya tidak berani janjikan sesuatu yang tidak pasti cuma saya menjanjikan perkhidmatan terbaik… Saya haraplah apa yang kita lalui selama 22 bulan janganlah berulang lagi. Berilah mandat kepada BN,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.