Calon BN Rahmad Mariman Pilihan Terbaik Untuk Warga Ayer Molek

BUKIT KATIL, 11 Nov – Nampak tegas, namun mudah didekati selain mudah dihubungi ketika rakyat dan masyarakat khususnya di Ayer Molek memerlukan bantuan.

Itulah yang digambarkan rakyat terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rahmad Mariman yang ditampilkan oleh parti untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.

Tinjauan UMNO-Online mendapati penduduk setempat senang dan berterima kasih apabila BN meletakkan beliau semula, memandang sepanjang sepenggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan yang sama sebelum ini, banyak permasalahan yang dihadapi rakyat berjaya diselesaikan dengan baik.

Sehubungan dengan itu, rata-rata penduduk dan masyarakat yang ditemui baru-baru ini, tidak berbelah-bagi untuk memberikan sokongan dan undi kepada Rahmad, agar segala apa yang dirancang dan tertangguh sebelum ini dapat diteruskan demi kebaikan dan keselesaan penduduk.

Bagi Mohd Ali Mukmin, 59, Pengerusi Masjid Ayer Molek berkata Rahmad yang juga bekas Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka adalah seorang pemimpin masyarakat yang berketerampilan baik.

“Saya nampak usaha gigih yang dilakukan oleh beliau, menyantuni masyarakat dan menjalankan tugas tidak kira sama ada beliau di pihak kerajaan mahupun pembangkang sebelum ini (ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan di Melaka).

“Beliau menjalankan tugas tidak kira siang ataupun malam, ketika beliau jadi YB (Yang Berhormat) pembangkang selama pentadbiran PH, malah lebih baik ketika beliau bersama kerajaan, aktiviti berterusan telah dilakukan dan ianya salah satu sebab kenapa disenangi masyarakat setempat.

“Saya yakin dan percaya bahawa calon DUN Ayer Molek ini akan terpilih menjadi wakil rakyat dan menyeru kepada semua pengundi-pengundi di Ayer Molek dan juga di luar agar dapat memberikan undi kepadanya,” ujar beliau.

Dalam pada itu menurut Aisyah Yaakob, 45,suri rumah juga mengakui Rahmad dikenali ramai masyarakat di sini.

“Datuk Rahmad Markiman adalah seorang yang cukup bagus dan baik, jikalau ada masalah beliau cepat turun ke padang dan tidak kira mana-mana kawasan di Ayer Molek. Ketika Ayer Molek dilanda musibah seperti banjir, ribut dan sebagainya beliau tetap membantu walaupun pada waktu tengah malam mahupun awal pagi.

“Saya cukup suka kata-katanya yang banyak memberi makna iaitu “Kerja Diberi, Saya Akan Buat”. Saya harap pada 20 November ini BN menang besar terutama sekali di DUN Ayer Molek,” katanya.

Sementara itu, Shairazi Romainor, 38, Usahawan dan pengundi DUN Ayer Molek berkata, sebagai orang muda dan juga pengundi di kawasan itu, beliau menyokong agar Rahmad diberikan kemenangan memandangkan banyak perkara dan idea baru yang boleh memberi kebaikan kepada masyarakat di sini dapat diteruskan.

“Sifat beliau sempoi dan relax serta amat rapat dengan pengundi muda dan juga pengundi yang berumur. Di kalangan orang muda beliau one of favourite sebab beliau ini natural dan tidak memilih-milih.

“Semasa menjawat wakil rakyat beliau ada tagline iaitu “Beri Saya Kerja, Saya Kerjakan”. Semasa beliau menjawat jawatan sebagai Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka beliau berjaya membawa Melaka ke fasa empat, ekonomi dibuka semula dan segala aktiviti-aktiviti dilakukan seperti biasa.

“Terima kasih di atas proses vaksinasi yang beliau mempercepatkan dan memperkukuhkan negeri Melaka,” tambahnya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Rahmad memenangi kerusi DUN Ayer Molek dengan majoriti 1,806, mengalahkan calon dari PKR, Farhan Ibrahim, calon PAS Jantan Abdullah dan seorang calon Bebas, Kamarolzaman Mohd Jidi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.