‘Lahabau’ Gambaran Sebenar Dap, Tidak Jaga Sensitiviti Rakyat – Dr Akmal Saleh

JASIN, 10 Nov – Penggunaan perkataan ‘lahabau’ yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kulai dari Dap, Teo Nie Ching disifatkan sebagai tidak mengambil kira sensitiviti rakyat khususnya di negeri ini, kata calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Dr Muhammad Akmal Salleh.

Katanya situasi ini membuktikan bahawa pembangkang selalu memainkan sentimen politik murahan meskipun ketika ini Melaka berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Menggambarkan bahawa pemimpin-pemimpin mereka ini tidak langsung menjaga sensitiviti rakyat di negeri ini.

“Jadi ini menggambarkan inilah parti mereka… sebabnya provokasi murahan seperti ini biasanya parti inilah yang biasa keluarkan provokasi,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Negeri Melaka berkata pendekatan ini jelas berbeza seperti yang dilakukan BN.

“Sebab itu saya kata kali ini kita hendak berkempen tidak mahu memburukkan orang lain malah telah dinasihatkan oleh kepimpinan kena lakukannya secara sihat dan berhemah.

“Kita tidak mahu langsung hendak sentuh keburukkan orang lain, perkara sensitif menyentuh bangsa-bangsa lain,” ujar beliau.

Terdahulu, Nie Ching menerusi Facebooknya memuat naik poster kempen dalam media sosialnya iaitu ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’ bagaimanapun beliau mengakui kesilapannya apabila tanpa memahami maksud sebenar di sebalik perkataan tersebut. UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.