Kemudahan Sukan, Peluang Pekerjaan Antara Tumpuan Cikgu Ali

TANGGA BATU, 10 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata beliau akan memberi tumpuan terhadap beberapa perkara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat di kawasan tersebut termasuklah kepada golongan muda.

Antara tumpuan itu jelasnya berkaitan pusat sukan sepertimana yang diluahkan oleh golongan belia di kawasan Tangga Batu selain mewujudkan peluang pekerjaan yang luas berdasarkan potensi kawasan itu sendiri.

“Di kawasan Tangga Batu ini saya telah banyak kali berjumpa dengan anak muda dan mereka meluahkan perlu ada satu kawasan seperti mini stadium atau tempat mereka boleh melakukan aktiviti sukan dan ini dilihat memberikan mereka ruang serta manfaat yang cukup banyak bagi golongan berkenaan.

“Keduanya kita ada satu tempat Petronas…penapisan minyak di Tangga Batu tetapi manfaat yang diterima khususnya pemuda tidak dapat merasai kek yang terdapat di situ.

“Insya-Allah jika saya terpilih saya akan berjumpa dengan CEO (ketua pegawai eksekutif) Petronas di Melaka…walaupun anak-anak muda di tangga Batu ini tidak mempunyai kebolehan yang besar…namun jika ada satu projek infra yang kita boleh berikan ruang kepada anak-anak muda yang terdapat di Tangga Batu termasuklah di Sungai Udang  dengan kemunculan peluang-peluang pekerjaan yang boleh diwujudkan dan ini antara penekanan kita,” ujarnya yang percaya ada ruang dan peluang untuk anak muda tempatan memanfaatkannya.

Dalam pada itu beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Melaka seterusnya memberitahu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kempen pilihan raya cukup ketat, namun akan tetap akur dengan apa yang telah ditetapkan.

“Kita sebagai rakyat Malaysia kita akur dengan apa yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga Majlis Keselamatan Negara tetapi kita merasakan SOP ini terlalu ketat. Dalam proses pilihan raya ini memang yang utama adalah bagaimana calon boleh berjumpa dengan rakyat atau pengundi setempat.

“Jadi dengan SOP yang agak ketat ini agak sukar calon bersemuka dengan pengundi tetapi ianya tidak menjadi halangan kepada kita kerana kita telah bersedia untuk melakukan perkara yang kita sudah memang jangka.

“Jadi kita telah bentuk jawatankuasa media untuk mendekati pengundi sama ada melalui facebook, live dan risalah-risalah yang akan kita edarkan di seluruh kawasan mengundi. Insya-Allah jika ini kita dapat laksanakan kita boleh sampaikan hasrat kita kepada pengundi,” tambah bekas guru itu yang lebih mesra disapa sebagai Cikgu Ali.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.