Dakwaan Sembilan PDM Bemban Ditutup Tidak Benar

JASIN, 10 Nov – Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Rizman Ghazali menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan tersebut ditutup.

Katanya, kesemua PDM telah dibuka selepas pengumuman penamaan calon pada semalam (Isnin) namun hanya satu PDM dipindahkan atas faktor keselamatan kerana kedudukannya yang berbahaya.

“Saya menafikan penutupan sembilan PDM tersebut kerana yang sahnya hanya satu PDM dipindahkan. Ada gambar yang disebar iaitu PDM Pondok Kempas yang mana saya telah minta ia dipindahkan.

“Saya telah minta Ketua PDM, Baharuddin Kancil untuk memindahkan PDM Pondok Kempas tersebut dengan memberikan ruang secukupnya kepada beliau kerana jalan itu turun bukit di selekoh… saya pun pernah terima hon dan hampir melanggar motosikal ini amat berbahaya,” katanya.

Sementara itu, bagi Ketua PDM Pondok Kempas, Baharudin Sidang Kancil turut memaklumkan jentera BN telah bersiap sedia untuk berhadapan hari pengundian kerana segala persiapan telah dilaksanakan meskipun PDM tersebut terpaksa dipindahkan atas faktor keselamatan.

“Saya pun terkejut bila terdengar dan membaca sembilan PDM DUN Bemban ditutup kerana apa yang kita tengok selepas penamaan calon 8 Nov baru kita diarahkan oleh Rizman untuk membuka bilik gerakan.

“Jadi semalam selepas tamat penamaan calon saya meminta ahli jawatankuasa bilik gerakan untuk menghias dan membuka.

“Kami di sini sudah bersiap siaga untuk menunggu hari mengundi pada 20 Nov ini,” jelasnya.

Bagi Ketua PDM Kesang Jaya, Abdul Rahman Ali beliau meluahkan rasa kesal dengan tersebarnya khabar angin berkenaan penutupan PDM tersebut.

“Tidak ada timbul isu tutup PDM kerana pada waktu itu belum buka lagi, kita hanya akan buka selepas penamaan calon.

“Kita kini sudah adakan perjumpaan selepas penamaan calon pada semalam termasuk perbincangan di peringkat DUN,” tegas beliau.

Terdahulu, terdapat laporan berita mengatakan bahawa sembilan PDM ditutup pada Jumaat iaitu Pondok Kempas, Kesang Tua, Seri Bemban, Tehel, Taman Maju, Air Panas, Air Kangkong, Air Barok dan Kesang Jaya.

Laporan tersebut menyebut penutupan tersebut dilakukan selepas pengumuman calon BN yang dilakukan pada Sabtu lalu. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib