Rais Mahu Selesaikan Masalah Banjir Di Paya Rumput

MELAKA, 9 Nov – Masalah banjir di beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput akan menjadi antara tumpuan calon Barisan Nasional (BN) DUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Rais berkata masalah itu merupakan isu paling utama selain masalah capaian Internet yang akan cuba diselesaikan beliau sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

“Di kawasan saya ini adalah satu kawasan yang mungkin dalam setahun belum tentu sekali (hujan), tetapi sekarang ini kalau hujan dalam masa dua jam sahaja sudah banjir di Cheng, Tanjung Minyak dan paling teruk keadaan di Kampung Krubung,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rais berkata beliau memahami masalah yang dihadapi masayarakat kawasan berkenaan kerana beliau merupakan anak jati Paya Rumput.

Sementara itu, beliau mengakui bahawa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk PRN Melaka jelas menyukarkan calon untuk berkempen dan berharap cara berkempen dapat dilonggarkan atau ditambah baik pada masa hadapan.

Rais berkata di Paya Rumput terdapat hampir 30 peratus golongan warga emas yang tidak biasa berurusan secara dalam talian, sekali gus menyukarkan lagi kempen beliau untuk mendekati kumpulan berkenaan.

“Jadi betul dan kita faham memang kempen digalakkan secara dalam talian tetapi macam mana kita nak dekati kumpulan macam ini (yang sukar dan tidak mempunyai akses Internet). Jadi perlunya kreativiti calon (dalam berkempen),” katanya.

Rais akan berdepan pertembungan empat penjuru bagi merebut kerusi berkenaan melibatkan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dari Pakatan Harapan, Muhammad Faris Izwan Mazlan (Perikatan Nasional), Mohamad Hashidi Mohd Zain (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia) dan Mohd Jaini Dimon (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov susulan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.