Pilih BN Demi Kesinambungan Pentadbiran Sulaiman Untuk Melaka

TANGGA BATU, 9 Nov – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ikmal Hazlan Datuk Ikmal Hisham menaruh keyakinan bahawa pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan membuat keputusan yang terbaik demi kelangsungan serta kesinambungan pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebelum ini.

Malah beliau turut melihat dengan kesediaan serta langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan parti mengetengahkan calon muda dan muka baharu memberi peluang kepada rakyat untuk membuat penilaian sewajarnya.

“Alhamdulillah kita nampak pada kali ini BN banyak ketengahkan calon muda dan muka baharu. Kita nampak perubahan dan saya kira ini adalah satu ‘indicator’ dan sebagai anak muda masing-masing boleh melihat bagaimana BN mengambil peranan anak muda dalam dunia politik.

“Ini menampakkan satu anjakan paradigma dan mungkin ini adalah faktor undi 18 yang akan digazetkan nanti. Ini adalah peluang terbaik untuk anak-anak muda menonjolkan diri dalam dunia arena politik dan mengambil peranan yang besar dalam perubahan polisi dan pelbagainya,” katanya kepada UMNO-Online.

Pada masa yang sama beliau menambah pentingnya memilih calon-calon daripada anak tempatan yang sudah pasti tahu selok-belok di kawasan masing-masing.

“Calon-calon lawan kebanyakannya daripada luar berbanding calon BN yang rata-rata calon tempatan dan asal-usul mereka yang menetap di sini. Ini secara tidak langsung menterjemahkan BN adalah parti politik yang berakar umbi serta mempunyai mempunyai jentera pelbagai peringkat dan seharusnya calon tempatan yang menjadi pilihan.

“Ini kerana mereka selok-belok di kawasan itu sendiri sepertimana Datuk Rais Yasin yang bertanding di DUN Paya Rumput…anak tempatan. Satu kerugian yang besar jika warga Paya Rumput tidak memilih beliau pada 20 Nov nanti,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.