Jangan Tersilap Pilih Lagi… Pastikan BN Pilihan Utama – Norsabrina

TANGGA BATU, 9 Nov – Pengundi di Melaka diharapkan agar membulatkan tekad dan tidak lagi tersalah pilih sepertimana pilihan raya umum (PRU) yang lalu kerana natijahnya telah dapat disaksikan serta dirasai selepasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata pengalaman lalu boleh dijadikan sandaran kerana akibatnya cukup dirasai dan kali ini dengan peluang kedua yang ada, Barisan Nasional (BN) diharap menjadi pilihan utama.

“Kita berharap jangan tersilap pilih, jangan tersilap langkah dan jangan tersilap membuat keputusan kerana padahnya di kawasan kita, kampung kelahiran kita yang akan menanggung akibatnya. Jadi saya berasa yakin BN calon yang ditampilkan adalah terbaik dengan ambil pelbagai segi.

“Tetapkan pemikiran… tetapkan hati hanya memilih BN… kerana BN yang kita bawa sebagai lambang dan logo pada PRN Melaka kali ini jelas terbukti membantu dan peka kepada rakyat. Jadi saya berharap orang Melaka kena tetapkan keputusan,” katanya kepada UMNO-Online.

Seterusnya ulasnya lagi, jentera dari Kedah turun membantu bagi sama-sama berusaha memastikan kemenangan yang mutlak buat BN.

“Kami daripada Kedah akan membantu jentera Melaka untuk sama-sama memahami dan dapat merasai apa yang kami rasa di Kedah sekiranya kita minoriti… sekiranya kita tidak ada kuasa.

“Jadi tolong bantulah Melaka supaya BN terus menerajui negeri. Insya-Allah kami daripada Kedah sedia membantu jentera tempatan dalam usaha meyakinkan rakyat agar membuat pilihan yang tepat pada 20 Nov depan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut melihat langkah BN mengetengahkan muka baharu serta golongan muda daripada pelbagai latar belakang menjelaskan segala-galanya bahawa peremajaan berlaku di dalam parti.

“Saya melihat UMNO juga berani buat keputusan ketengahkan muka-muka baharu dan calon muda sekaligus menunjukkan parti melaksanakaan peremajaan,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.