Calon Berkarisma… Gerakkan Pelbagai Medium, BN Optimis Untuk Kemenangan – Exco Wanita

 

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Exco Wanita UMNO Malaysia, Zarina Abdol Majid sangat yakin dan optimis dengan usaha secara holistik dan bersepadu, Barisan Nasional (BN) bukan sahaja akan mempertahankan kawasan sedia ada malah kawasan tumpuan akan dapat peroleh kemenangan semula.

Tegasnya, kesemua Jentera Barisan Nasional (BN) khususnya jentera Wanita UMNO akan bergerak mengikut SOP yang telah ditetapkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan imej kita selari dengan Slogan “Kestabilan Demi Kemakmuran” perlu dijaga dan tidak menjadi punca jangkitan wabak COVID-19.

“Wanita UMNO sedang bertungkus-lumus dalam mengerakkan kempen semasa melalui pelbagai medium media sosial dan bilik gerakan telah diaktifkan semaksimum mungkin.

“Kesiapsiagaan jentera Wanita UMNO dan BN telah mencapai hampir 120% bagi fokus kepada kawasan tumpuan dengan beberapa strategi untuk menenangi hati dan pemikiran masyarakat,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Berkaitan dengan calon wanita dari BN, beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Perak, berkata kesemua calon-calon adalah berkarisma dan disukai rakyat.

“Wanita BN yang terdiri daripada tiga Wanita UMNO, seorang daripada Puteri UMNO dan seorang daripada MCA memang mempunyai karisma pemimpin dan kriteria yang sangat disukai rakyat Melaka.

“Lima orang calon ini sememangnya mempunyai tiga kriteria yang sama yang digariskan oleh BN iaitu calon yang “boleh menang” (winnable), boleh diterima (acceptable), dan disukai/disenangi (likeable) pengundi.

“Kita yakin bahawa dengan keupayaan mereka ini mampu memberikan kemenangan 100 peratus kepada BN,” katanya lagi yang juga Ketua Wanita UMNO Bagan Serai. – UMNO Online