Proses Penamaan Calon PRN Melaka Berlangsung Dalam Suasana Norma Baharu

MELAKA, 8 Nov – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung dalam suasana norma baharu di 28 pusat penamaan yang akan dibuka pada pukul 9 pagi.

Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat persiapan rapi di semua pusat penamaan calon itu yang akan menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) ketat dilaksanakan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Setakat ini, lima parti iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta seorang calon bebas, telah menyatakan hasrat bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Dijangka seramai 91 calon akan mengemukakan borang pencalonan.

Tidak seperti sebelum ini, proses penamaan calon dalam suasana norma baharu kali ini berlangsung tanpa perarakan penyokong-penyokong yang mengiringi calon.

Kebenaran hanya diberikan kepada calon, pencadang dan penyokong calon atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka untuk masuk ke dalam pusat penamaan bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding.

Sementara itu, cuaca cerah dan baik walaupun sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca hujan di satu dua tempat pada sebelah pagi di kesemua tiga daerah iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.