Pertandingan Tiga Penjuru Di Tanjung Bidara Antara Ab Rauf, Mas Ermieyati Dan Zainal

ALOR GAJAH, 8 Nov – Pertandingan tiga penjuru sah berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, selepas ketiga-tiga calon dibenarkan bertanding.

Pegawai Pengurus (RO) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk N02 Tanjung Bidara Mohamad Farid Othman berkata tiga calon berkenaan adalah Zainal Hassan dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dari Barisan Nasional (BN).

“Saya menerima borang pencalonan dari Zainal pada pukul 9.02 pagi, Mas Ermieyati (9.12 pagi) dan Ab Rauf (9.15 pagi).

“Saya telah menyemak kertas pencalonan dan berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak kertas penamaannya,” katanya ketika mengumumkan perkara berkenaan di pusat penamaan calon di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara di sini hari ini.

Kerusi DUN Tanjung Bidara dianggap sebagai kerusi panas pada PRN Melaka kerana menampilkan calon tumpuan iaitu pemimpin politik kanan parti masing-masing dan berjawatan di peringkat kerajaan persekutuan.

Ab Rauf ialah Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Melaka dan juga bekas speaker DUN Melaka, manakala Mas Ermieyati ialah Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Terdahulu, calon Pakatan Harapan Zainal Hassan tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.09 pagi, diikuti Ab Rauf (8.45 pagi) dan Mas Ermieyati (8.50 pagi). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.