Pengundi Bijak Buat Pilihan, Undi BN Demi Kesejahteraan Melaka – Hasan

JASIN, 8 Nov – Rakyat di Melaka diharap melakukan pilihan yang bijak dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bagi menjamin kesejahteraan, kata Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd Rahman.

Jelas beliau, rakyat perlu mengambil peluang ini demi memperkukuh serta menjamin kehidupan generasi yang akan datang seperti yang dilakukan BN selama 60 tahun lalu.

“Jadi saya merayu kepada semua pengundi janganlah membazir undi kali ini… pilihlah calon BN yang sudah tentu dapat memberikan jaminan masa depan seperti yang kita lakukan sejak dahulu kerana pengalaman selama 22 bulan memberikan kesedaran yang cukup tinggi.

“Semua calon-calon telah terpilih untuk mewakili BN dalam PRN khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim di mana Datuk Khaidhirah Abu Zahar telah pun dipertaruhkan sebagai calon BN.

“Paling penting mereka calon daripada BN dan matlamat adalah untuk memenangi PRN untuk memberi kebahagiaan kepada rakyat. Kita telah membuktikan dalam kepimpinan BN sejak lebih enam dekad kerana kita tidak pernah meminggirkan rakyat walau apa juga fahaman politik keturunan kaum Melayu, Cina India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bilik Gerakan DUN Rim di Kampung Chinchin di sini hari ini.

Hasan yang juga bekas ADUN Sungai Rambai berkata sebagai ahli parti yang setia beliau dan jentera parti tetap memberi sokongan kepada calon-calon yang mewakili BN dalam lima DUN di bahagian berkenaan.

“Kita mesti akur dengan keputusan parti sebagai orang parti wala’ sebagai elemen penting untuk kita berjuang.

“Saya sudah melihat dan mendengar… bagi kami tidak ada masalah.

“Kalau dahulu orang sokong kita kali ini kita mesti sokong calon-calon baharu ini. Itu falsafah perjuangan kami semua,” ujar beliau.

Pada Sabtu lalu, Ketua Pengarah PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan empat calon baharu bagi Parlimen Jasin termasuk Khaidhirah bagi DUN Rim; Dr Muhamad Akmal Saleh DUN Merlimau; Siti Faizah Abdul Azis mewakili DUN Sungai Rambai selain mengekalkan penyandang Datuk Zaidi Attan di DUN Serkam. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib