‘Lahabau’ Kempen Biadap, Tidak Melambangkan Adab Yang Tinggi – Cikgu Ali

TANGGA BATU, 8 Nov – Tindakan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menggunakan perkataan ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’ dalam bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu dilihat satu tindakan yang memalukan dan penghinaan kepada rakyat negeri tersebut.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘lahabau’ adalah kata makian yang bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap dan haprak.

“Benar perkataan ‘lahabau’ memang sering digunakan sebagai dialog dalam perbualan harian, tapi ia hanya digunakan dalam konteks rakan karib dan gurauan sesama sendiri.

“Namun bagi orang luar atau orang yang tidak dikenali adalah sangat tidak moleh untuk mengunakan perkataan seperti itu kerana ia merupakan penghinaan dan cacian,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Justeru beliau menyeru agar pengundi di negeri berkenaan menolak kempen sedemikian rupa yang tidak melambangkan adab sewajarnya.

“Saya menyeru seluruh rakyat Melaka khususnya pengundi agar menolak kempen biadap dan kurang ajar seperti ini kerana ia secara tidak langsung memperlekehkan rakyat Melaka yang terkenal dengan sikap budi bahasa dan adab yang tinggi,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.