Calon BN Linggi Tekad Teruskan Kesinambungan Wakil Rakyat Terdahulu

KUALA LINGGI, 8 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi Rosli Abdullah bertekad untuk meneruskan kesinambungan perancangan serta pelaksanaan yang telah dilakukan oleh mantan wakil rakyat sebelum ini di kawasan berkenaan agar ianya memberi manfaat berterusan kepada penduduk setempat.

Beliau yang juga antara salah seorang muka baharu yang diketengahkan oleh parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov depan berkata selain daripada kesinambungan tersebut, banyak lagi agenda serta perkara baharu yang akan dirancang untuk kelestarian pembangunan di Kuala Linggi.

“Terima kasih kepada parti yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk membawa amanah sebagai calon BN pada PRN 20 Nov depan. Alhamdulillah…kita akan berusaha untuk memastkan perjuangan UMNO dan BN dapat diteruskan di Kuala Linggi dan memberi sumbangan kepada pembentukan kerajaan negeri nanti,” katanya kepada UMNO-Online, baru-baru ini.

Beliau seterusnya mengajak rakyat di Kuala Linggi untuk bersama-sama dengannya bagi memastikan kerancakan pembangunan di kawasan tersebut dapat dijayakan sebaik mungkin kerana kawasan berkenaan mempunyai tarikan yang tersendiri.

“Kepada penduduk dan pengundi Kuala Linggi…marilah bersama-sama untuk meneruskan kesinambungan yang telah dilakukan oleh wakil rakyat sebelum ini. Segala perancangan sebelum ini akan diteruskan dalam usaha memastikan DUN Kuala Linggi terus menikmati pembangunan yang sewajarnya dan rakyat terus dibela, insya-Allah,” ujarnya.

Pada PRN Melaka ini, BN mempertaruhkan 86 peratus calon muka baharu dan mengekalkan hanya empat penyandang iaitu Sulaiman, Exco Kesihatan dan Anti Dadah Datuk Rahmad Mariman, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Datuk Muhammad Jailani Khamis serta Datuk Zaidi Attan. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.