Ab Rauf Alu-Alukan Pertandingan Tiga Penjuru Di Tanjung Bidara, Biar Rakyat Menilai

TANJUNG BIDARA, 8 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan pertembungan tiga penjuru bagi kawasan yang ditandinginya merupakan satu pertandingan yang sihat.

Katanya, pertembungan ini merupakan satu titik tolak bagaimana rakyat Masjid Tanah menilai seorang calon yang telah diberikan mandat ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas logo BN dan kemudiannya beralih arah.

“Saya mengalu-alukan pertandingan ini dan ianya satu pertandingan yang sihat dan melihat bahawa pertandingan ini merupakan satu pertandingan antara sebuah perjuangan antara parti.

“Saya tidak kisah siapa yang akan bertanding dengan saya dan masyarakat tahu pertandingan ini umpama ‘sifu bersama anak buah’ tetapi saya menganggap ini adalah pertandingan sebuah perjuangan yang dilihat parti lebih mana berprinsip yang akan dipilih oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penamaan calon di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, pertandingan ini melihat keupayaan sesebuah parti yang dimenangi dapat mengurus tadbir negeri dengan baik.

“Pertandingan bukan hanya melihat kebolehan ataupun upaya tetapi melihat bahawa calon yang akan memenangi PRN Melaka ini adalah calon yang bersama-sama dengan sebuah parti yang bakal mengurus tadbir negeri Melaka dan akhirnya akan memberikan pulangan kepada rakyat kawasan setempat.

“Pertandingan ini haruslah berunsurkan pertandingan yang sihat dan tidak menyentuh perkara yang tidak patut dan tidak layak kepada seseorang calon tetapi rakyat Tanjung Bidara boleh menilai selepas PRU-14 bagaimana sebuah kerajaan yang telah diberikan mandat menguruskan sebuah negara dan negeri akhirnya kembali semula pentadbiran kepada UMNO/BN yang telah terbukti dalam pengalaman yang ada dalam parti ini dapat menguruskan negeri ini dengan baik.

“Kerusi DUN Tanjung Bidara dianggap sebagai kerusi panas pada PRN Melaka kerana menampilkan calon tumpuan iaitu pemimpin politik kanan parti masing-masing dan berjawatan di peringkat kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

Ab Rauf ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka dan juga bekas speaker DUN Melaka, manakala Mas Ermieyati ialah Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Terdahulu, ketika proses penamaan calon, calon Pakatan Harapan (PH) Zainal Hassan tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.09 pagi, diikuti Ab Rauf (8.45 pagi) dan Mas Ermieyati (8.50 pagi). – UMNO ONLINE

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.