Suara Anak Muda Didengari UMNO, Ia Adalah Satu Tanggungjawab – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh merasa terharu apabila UMNO memberikan peluang kepada anak-anak muda menjadi calon PRN Melaka.

Jelasnya, hampir 90 peratus adalah calon-calon muka baharu dan ini telah membuktikan UMNO mendengar suara orang muda.

“Saya rasa gembira bahawa UMNO/BN telah membuktikan bahawa suara orang muda kini didengar dan hampir 90 peratus muka-muka calon di PRN Melaka adalah muka baharu. Ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang diserahkan dan ianya perlu dilakukan dengan baik.

“Ia bukannya satu norma baharu untuk UMNO tapi UMNO berubah setiap zaman dan Alhamdulillah… mendengar suara-suara orang muda dan mencalonkan empat orang dari Pemuda dan satu dari Puteri,” katanya kepada UMNO Online.

Justeru, beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO negeri berharap agar pengundi-pengundi di kawasan yang ditandinginya itu akan memilihnya atas rekod perkhidmatan selama ini.

“Jika orang kampung kenal saya dulu sebagai Dr Akmal maka jikalau dipilih menjadi ‘Yang Berhormat’ atau lebih baik dipanggil ‘Yang Berkhidmat’… saya tetap Dr Akmal dulu sebagai orang kampung yang berkhidmat tidak kira siang ataupun malam dari dulu sampai semampunya, Insya-Allah.

“Semoga orang-orang kampung Merlimau mampu menilai siapa diri saya dan tidak menjanjikan bulan serta bintang tapi saya menjanjikan perkara yang boleh saya buat dan melihat ‘track record’ apa yang pernah dilakukan. Jika saya di hati pengundi dan merasa terbaik…maka undilah saya,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.