Pemuda UMNO N. Sembilan Komited Bantu Jentera BN, Rangka Strategi Tersendiri

SEREMBAN, 7 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan komited untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam tempoh kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Kata Ketuanya Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, komitmen seratus peratus akan diberikan bagi memastikan negeri itu kembali di bawah penguasaan BN dengan kerajaan yang lebih kuat dan stabil.

“Walaupun dalam keghairahan untuk membantu jentera BN pada PRN Melaka itu nanti, kami juga akan sentiasa memastikan kempen yang kami sertai sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kami telah pun merangka strategi tersendiri untuk berkempen dalam suasana norma baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, Pemuda UMNO Negeri Sembilan amat berbesar hati dengan keputusan BN yang meletakkan lebih 85 peratus calon baharu pada PRN Melaka seperti yang diumumkan oleh Pengarah Pilihan Raya Datuk Seri Utama Mohamad Hasan.

“Keberanian BN meletakkan calon baharu ini membuktikan bahawa ia sentiasa bersedia membawa perubahan kerana yang penting adalah kemenangan parti pada PRN Melaka itu nanti.

“Ini selari dengan tema kempen BN pada PRN Melaka kali ini iaitu Kestabilan Demi Kemakmuran. Berdasarkan tema ini, yang penting adalah untuk memastikan lebih ramai calon BN menang pada PRN Melaka itu nanti sekali gus, sebuah kerajaan negeri yang kuat dapat ditubuhkan,” katanya.

Begitu juga ulasnya mengenai inisiatif baharu yang diambil oleh parti kali ini iaitu mewajibkan setiap calonnya menandatangani aku janji untuk mengelakkan dari lompat parti juga wajar diberi pujian.

“Kita tidak lagi mahu perkara sama berulang iaitu wakil rakyat keluar parti sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat dan negara,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.