Beri Peluang BN Untuk Teruskan Khidmat Kepada Rakyat – Muhammad Jailani


KUALA LUMPUR, 7 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis berharap beliau sekali lagi diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat di kawasan terbabit bagi meneruskan agenda membantu rakyat.

Beliau yang juga penyandang DUN berkenaan berkata sepanjang tempoh tersebut beliau melakukan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya berharap dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik lagi dari sudut agama, contohnya sebelum ini kita telah mengimarahkan 26 surau dan lima masjid.

“Pada masa yang sama memberikan bantuan kepada rumah ibadat yang bukan Islam seperti lima tokong dan empat kuil termasuk satu gereja di mana dalam sejarah tidak pernah berlaku tapi ini tetap berlaku di sini juga dalam memberi bantuan dari aspek kebajikan serta dana kepada semua rumah ibadat,” katanya.

Jelas bekas peguam itu lagi, di samping itu aspek kebajikan juga tidak dilupakan beliau termasuk mengagihkan bekalan makanan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Jadi dalam kebajikan pula kita berkhidmatan tahun ini sahaja dalam 9,000 kit makanan bagi tujuan COVID-19. Kita telah pergi dan bagi kepada semua rakyat tanpa mengambil kira bangsa, agama atau latar belakang maksudnya walau sesiapapun kita tak tanya parti politik kerana kita melakukan ini dengan penuh keikhlasan.

“Dari segi pendidikan kita telah beri tiga tahun berturut-turut kelas tambahan percuma dan alhamdulillah ada pencapaian cemerlang daripada pelajarnya seperti 9A, 8A, 7A, 6A dalam kalangan Melayu, Cina dan India dalam DUN ini sendiri.

“Kita malah memberikan peruntukan kepada 20 sekolah di kawasan DUN ini dan kali ini saya akan cuba tambah satu lagi elemen iaitu ekonomi. Kita akan membangunkan kawasan yang berpotensi untuk memberikan peluang pekerjaan dan ekonomi kepada penduduk setempat,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.