PRN Melaka: 254 Borang Pencalonan Dijual – SPR

MELAKA, 4 Nov – Sebanyak 254 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah terjual menjelang beberapa hari lagi sebelum hari penamaan calon, Isnin ini.

Jurucakap Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika dihubungi Bernama hari ini berkata, borang penamaan calon itu telah mula dijual pada 18 Okt lepas di pejabat SPR di Putrajaya dan SPR Melaka.

”Segala proses pembelian berjalan lancar di kedua-dua tempat. SPR juga menasihatkan bakal calon yang bertanding mengisi borang dan membuat semakan dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri sebelum hari penamaan calon iaitu 8 Nov ini.

Calon juga disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran perlu dibawa pada hari penamaan sebagai bukti pembayaran bagi memastikan semua proses seterusnya lancar,” katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov, manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – BERNAMA