Wanita UMNO Atur Langkah Laksana Gerak Kerja, Ambil Kira SOP Semasa – Norshida

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata pelbagai pandangan diambil kira dalam usaha melancarkan gerak kerja sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan bermula 8 November ini.

Menurut beliau apatah lagi dengan pelbagai ‘Standard Operation Procedure’ (SOP) yang akan dimaklumkan oleh pihak berkaitan sepanjang kempen berkenaan, tentunya segala pelaksanaan dan perancangan akan mengambil kira perkara-perkara berkenaan.

“Alhamdulilah, hari ini (Isnin) Mesyuarat Penerangan Wanita UMNO Malaysia diadakan bersama sahabat Ketua Penerangan Wanita UMNO seluruh Malaysia.

“Kita berbincang serta berkongsi idea, pandangan, strategi selain perancangan gerak kerja Penerangan Wanita terutamanya gerak kerja PRN Melaka.

“Semoga Allah memudahkan segala urusan dan perancangan yang telah dibincangkan, dilimpah rezeki serta keberkatan dalam urusan perjuangan demi parti, agama, bangsa dan negara,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat seterusnya menambah bentuk kempen yang akan dilaksanakan kelak tentunya tertakluk kepada SOP yang akan diumumkan nanti.

Namun tambahnya Wanita UMNO khususnya jentera penerangan telah pun bersedia daripada awal dan akan menyusun langkah apabila wisel atau gendang PRN dipalu pada 8 November ini.

“Apa pun kita sama-sama tunggulah nanti… namun dalam keadaan sebegitu Wanita UMNO di pelbagai peringkat telah pun melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing. Wanita sentiasa bekerja… Wanita UMNO sedia berkhidmat dalam apa jua keadaan… insya-Allah kita sama-sama memohon doa agar dipermudahkan kelak,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi RN Melaka dan hari penamaan calon pada 8 November diikuti tarikh mengundi awal pada 16 November.

PRN Melaka perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.