Segerakan Kerja-kerja Awal Atasi Permasalahan Banjir – KM

MELAKA, 2 Nov – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pagi tadi telah mengadakan lawatan mengejut di Taman Bukit Beruang Bistari, Ayer Keroh, di sini bagi melihat sendiri keadaan dan punca banjir di kawasan perumahan itu.

Beliau turut memanggil Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang diwakili sendiri oleh Yang Dipertuanya, Datuk Shadan Othman serta syarikat jurutera perunding bagi mendengar status kerja bagi projek tebatan banjir di kawasan itu.

“Saya juga mahu melihat sendiri status dan pelan jangka masa pendek bagi mengatasi masalah banjir yang sudah lama menghantui penduduk di kawasan terjejas.

“Saya juga mengambil maklum aduan dan pandangan disuarakan oleh saudara Adlan Ali, wakil penduduk di Jalan BBB 4, Jalan BBB 5 dan Jalan BBB 6 di Taman Bukit Beruang Bistari yang mahu wakil penduduk dilibatkan sama bagi projek tebatan banjir di kawasan itu,” ujarnya di status di Facebooknya.

Katanya lagi, beliau juga sudah mengarahkan MPHTJ, Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka dan syarikat jurutera perunding untuk segera mengadakan mesyuarat dengan melibatkan sama wakil penduduk.

“Saya juga mahu pastikan esok juga kerja awal dapat dibuat bagi mengatasi permasalahan banjir bagi tempoh jangka masa pendek,” tegasnya.

Selain itu, prihatin dengan nasib menimpa mangsa banjir, beliau sudah mengarahkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) supaya memberi rebat 15 peratus pada bil bulan Oktober membabitkan sebanyak 24,141 akaun pengguna domestik di tiga daerah di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin yang terjejas banjir. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.