PRN: SOP Sentiasa Dipatuhi, Nyawa Rakyat Jadi Keutamaan – Rais Yasin

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Pemuda UMNO akan akur dengan sebarang Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diumumkan oleh pihak Kementerian Kesihatan serta lain-lain agensi yang terlibat sepanjang berlangsungnya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal bermula selepas penamaan calon pada 8 Nov depan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Rais Yasin berkata walaupun ianya memberi kekangan terhadap kempen yang akan dilaksanakan nanti, namun sudah pasti nyawa rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya akan meneliti segala bentuk kempen yang akan dilaksanakan nanti.

“Sebagai jentera diperingkat bawah kita merasakan bahawa SOP yang diumumkan oleh KKM merupakan satu kekangan tetapi apa-apa pun nyawa rakyat jangan dipertaruhkan dan kita akan memastikan apa jua SOP yang telah ditetapkan mesti dipatuhi.

“Apa-apa pun kita berharap pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat memberikan sedikit kelonggaran seperti contoh kempen dari rumah ke rumah dan kalau boleh semua rakyat Melaka dan jentera UMNO/BN dapat menjaga SOP kerana PRN Melaka merupakan pilihan raya yang penting demi memastikan demokrasi itu sentiasa kekal,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambahnya, PRN kali ini merupakan salah satu kesinambungan antara satu sama lain dalam usaha membantu parti terus kekal sebagai peneraju di negeri Melaka.

“Pastinya BN akan mengemukakan calon-calon yang akan membawa idea-idea baharu dan dalam masa yang sama tidak mengetepikan ‘orang lama’ kerana ianya perlu ada kesinambungan bantu membantu serta memastikan BN kekal sebagai kerajaan negeri Melaka,” ujarnya. UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.